Kasino : Anwar saran ambil tindakan

SEPANG 26 April – Mana-mana pihak yang dikaitkan dalam laporan sebuah agensi berita asing yang mendakwa kerajaan merancang mengeluarkan lesen pengoperasian kasino di Forest City, Johor, perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap agensi berita itu, kata Anwar Ibrahim.

“Mereka yang disentuh (dalam laporan itu) perlu mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Pusat Muktamar Islam Malaysia Airlines (MAB), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan meminta agensi berita berkenaan menarik balik laporan mereka, atau mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi berita berpangkalan di New York itu.

Semalam, Anwar dipetik menegaskan laporan media itu yang memetik sumber, baru-baru ini, adalah tidak betul dan bohong.

Laporan agensi berita itu mendakwa bahawa pengasas Berjaya, Vincent Tan, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Genting, Lim Kok Tay, sedang berbincang dengan kerajaan berhubung pembukaan sebuah kasino di Forest City.

Menurut dakwaan laporan itu lagi, perbincangan mengenai pemberian lesen itu masih pada peringkat awal.

Sementara itu, Berjaya Corp Bhd (BCorp) dalam kenyataannya menafikan laporan yang mengaitkan Pengasasnya, Vincent Tan terbabit dalam rundingan berkaitan lesen kasino di Forest City, Johor.

BCorp berkata, artikel yang dikeluarkan Bloomberg LP ‘Malaysia In Talks With Tycoons On Casino To Revive $100 Billion Forest City’ dan artikel bertajuk ‘Malaysia Mulls Casino At Forest City’ oleh The Edge Singapore telah memasukkan maklumat tidak tepat.

Justeru, katanya, ia memberi gambaran yang salah pembabitan pihaknya dalam perbincangan dengan Perdana Menteri, berhubung projek Forest City.

“Kami ingin menjelaskan bahawa Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun tidak mengambil bahagian dalam sebarang rundingan sedemikian dan menyangkal dakwaan tidak tepat yang dikemukakan dalam artikel berkenaan,” kata kenyataan itu.

BCorp berkata, sebagai tindak balas kepada ketidaktepatan itu, pihaknya memohon tindakan daripada pihak terbabit untuk penjelasan dan menyingkirkan sebarang kandungan yang mengelirukan daripada artikel yang dipersoalkan itu merentas semua platform.

Ia juga memohon pemberhentian penyebaran maklumat yang tidak tepat.

“Kami percaya bahawa pihak yang bertanggungjawab akan memahami kebimbangan kami dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Projek Forest City yang terletak di Gelang Patah, bermula pada 2015 dengan 28,000 unit kediaman telah siap dibina, setakat ini, selain fokus utama pemaju kepada pulau buatan pertama seluas 560 hektar.

Related posts

Leave a Comment