POP25, KEMAS16 misi kekalkan PMX

SHAH ALAM 21 April – Bagi memastikan misi Anwar Ibrahim akan terus kekal sebagai Perdana Menteri, PKR akan memulakan gerak kerja dua tahun lebih awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Justeru, PKR memperkenalkan kerangka kerja ‘Keadilan menang siri PRU ke-16’ (KEMAS16) dan pemerkasaan organisasi parti (POP25) sebagai hala tuju persiapan akar umbi dan pimpinan PKR merangka persiapan serta menggembleng kekuatan dalam menghadapi PRU-16.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, kedua-dua kerangka kerja ini, adalah untuk mengukuhkan kembali kekuatan dari akar umbi sehingga ke atas untuk mencipta kekuatan baharu supaya parti berada di depan dałam persiapan menghadapi PRU.

“Selepas pelancaran pada hari ini, maka keseluruhan kepimpinan daripada setiap peringkat parti akan digerakkan turun ke negeri-negeri secara berkala, diikuti ke cabang, menandakan kesediaan kita menghadapi PRU ke-16, bermula hari ini.

Persiapan dua kerangka ini adalah untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU ke-16,” katanya berucap pada Konvensyen 25 Tahun Keadilan di Pusat Konvensyen Shah Alam (IDCC) di sini harı ini.

Rafizi berkata, dalam kedudukan parti sebagai kerajaan, sukar membawa PKR untuk dilihat terlalu defensif, memandangkan sejarah parti itu yang terkenal dengan agenda reformasinya.

“Sebab itu sebagai parti reformasi, tugas kita ini berterusan dan tak akan habis. Sebab kita kena cari jalan baru yang orang lain tidak mahu buat. Supaya akhirnya walaupun tidak mahu didendang, tapi perubahan itu berlaku dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini kekuatan yang dimiliki PKR seperti keupayaan untuk menguasai media alternatif sudah mula dikuasai oleh parti lawannya.

“Kekuatan kita dalam mengupas isu juga akan ada cabaran baru sebab pimpinan kita sekarang adalah pimpinan kerajaan. Sebab kalau kita cakap, kita akan terikat dengan segala dasar, aturan pentadbiran yang kita juga kena patuh,” katanya.

Dalam pada itu ketika sesi Dialog KEMAS16 dan Dialog POP25,  Rafizi mengaku kepemimpinan parti itu kurang memberi tumpuan kepada gerak kerja parti dalam tempoh 12 hingga 15 bulan sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk pada November 2022.

Katanya, perkara itu disedari dan difahami oleh barisan kepemimpinan parti, kerana banyak urusan sebagai kerajaan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Ini difahami kepimpinan parti… sebab itu kita mahu mengukuhkan parti untuk masuk ke pilihan raya seterusnya, dengan mengemukakan kerangka tersusun yang ada ‘template’ untuk digunakan di setiap cabang dengan modus operandi serta prosedur operasi standard (SOP) yang betul berikutan kekangan kewangan.

“Modul ini disesuaikan dan dibawa ke bawah bagi membolehkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) serta Ketua Cabang memetakan kepada tugas masing-masing,” katanya.

Rafizi memberi contoh, gerak kerja komunikasi melalui POP25 yang membabitkan jentera komunikasi di mana tugas itu dilaksanakan oleh Ketua Penerangan dan Pengarah Komunikasi, namun tugas sama diberikan kepada MPP kerana mereka ada kerja yang jelas dan jadual kerja yang diuruskan serta dilaporkan kepada Presiden pada mesyuarat MPP.

“Insya-Allah dengan kerangka itu, lebih ramai calon yang hendak menjadi calon dan pimpinan di atas serta negeri akan turun ke bawah menggerakkan POP25 dan KEMAS16.

“Kita tidak mahu lagi MPP turun ke bawah hanya melakukan perjumpaan yang kosong, sekadar minum kopi dan bersembang saja, seperti ketika menjadi pembangkang dulu.

“Kini, kita sudah menjadi kerajaan dan sampai masanya kita menggunakan kedudukan itu bagi membina kekuatan parti dan seterusnya mengukuhkan kedudukan parti untuk 20 hingga 30 tahun akan datang. Maka, ia perlu disusun, berfokus dan berstruktur,” katanya.

Beliau menegaskan pelan itu akan digerakkan mulai Mei depan dengan MPP turun ke negeri diikuti cabang.

Nnn

Related posts

Leave a Comment