PUTRAJAYA 27 Nov. – Kembali kepada empat angka apabila 1,109 kes baharu direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini meningkat kepada 61,861 kes.
Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 10 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,099 kes adalah merupakan penularan Covid-19 dalam negara sementara kes aktif kebolehjangkitan Covid-19 adalah 11,307 kes.
Jumlah kumulatif kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 hari ini melebihi 50,000 dengan 1,148 kes sembuh direkodkan hari ini.
Angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh Covid-19 sebanyak 50,204 atau 81.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Sehingga kini, terdapat 113 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 41 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Dr Noor Hisham berkata terdapat dua pertambahan kes kematian Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 350 kes (0.57 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes.
Kes kematian ke-349 melibatkan lelaki bukan warga tempatan berusia 47 tahun yang meninggal dunia di Hospital Semporna dan mempunyai latar belakang penyakit jantung manakala kes kematian ke-350 juga melibatkan lelaki bukan warga tempatan berumur 64 tahun yang disahkan meninggal dunia di Hospital Labuan serta mempunyai rekod serangan strok.