SEPANG 16 April – Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) menggesa pengurusan tertinggi institusi perbankan di negara ini supaya lebih menghargai kakitangan masing-masing.
Gesaan itu susulan NUBE mendapat aduan bahawa beberapa bank yang mencatatkan keuntungan besar gagal menyediakan kemudahan surau yang memadai untuk solat serta bantuan hari raya.
“Pekerja memberikan gambar kepada NUBE bahawa surau yang disediakan bukan saja tidak memadai tetapi juga tidak selamat kerana sebahagiannya adalah stor yang diubah suai.
Janji kosong mereka sebagai majikan yang penyayang, terbongkar. Sepanjang pemerintahan mereka, fokus utama adalah memaksimum keuntungan peribadi dengan mengeksploitasi sistem,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
NUBE berkata, pekerja bank adalah nadi utama dalam menjamin operasi yang lancar dan kejayaan bank secara keseluruhan, serta tulang belakang yang menggerakkan perniagaan, keuntungan, dan kemakmuran bank, memastikan operasi berjalan tanpa hambatan.
“Namun, pengurusan atasan sering kali memberikan gambaran bahawa sumbangan pekerja bank adalah remeh, sementara menonjolkan peranan mereka sendiri sebagai lebih penting,” katanya.
NUBE berkata, pihaknya mendapati penghormatan terhadap CEO bank merosot apabila mereka mengabaikan rayuan ikhlas dari pekerja mereka untuk meneruskan Bantuan Perayaan 2023.
Katanya, organisasi yang mewakili ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengurusan atasan bank menggelar diri mereka Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), seolah-olah mewakili seluruh bank, sedangkan hakikatnya mereka hanya mewakili beberapa CEO bank.
“Sebagai komuniti, kita perlu memahami dan mengakui sumbangan pekerja bank dan menolak narasi lama. Sudah tiba masanya pekerja bank diberi penghormatan dan kerja keras serta dedikasi mereka dihargai sepenuhnya oleh pengurusan masing-masing,” kata kenyataan itu.
Nnn
