28 maut dipanah petir di Pakistan

LAHORE: Sebanyak 28 orang maut selepas dipanah petir, manakala sekurang-kurangnya 13 lagi terbunuh dalam insiden berkaitan ribut di seluruh Pakistan sejak Jumaat lalu.

Susulan itu, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan Pakistan (NDMA) memberi amaran mengenai tanah runtuh dan banjir kilat, berikutan lebih banyak hujan dijangka berlaku dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Punjab, wilayah terbesar dan paling ramai penduduk di Pakistan, menyaksikan angka kematian tertinggi, dengan 21 orang terbunuh dipanah petir antara Jumaat dan Ahad.

Perdana Menteri, Shehbaz Sharif meminta NDMA berkoordinasi dengan wilayah dan menyediakan barangan bantuan ke kawasan di mana kerosakan berlaku.

Mereka yang tinggal di kawasan terbuka dan luar bandar lebih berisiko disambar petir ketika ribut petir.

Sekurang-kurangnya lapan terbunuh di wilayah Balochistan, termasuk tujuh disambar petir, di mana 25 daerah didalamnya dilanda hujan dan beberapa kawasan juga dinaiki air.

Sekolah-sekolah di wilayah itu diarah tutup pada Ihari ini dan esok, selain menangguhkan kepulangan pelajar selepas cuti Aidilfitri pada penghujung bulan Ramadan.

Sementara itu, empat maut dalam kemalangan jalan raya selepas laluan dinaiki air di wilayah selatan Sindh manakala lapan terbunuh di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa, termasuk empat kanak-kanak, apabila rumah mereka runtuh dalam hujan lebat.

Related posts

Leave a Comment