KAHERAH: Kumpulan Islam Palestin Hamas pada Sabtu menolak cadangan gencatan senjata Israel dengan menyerahkan pendirian itu kepada pengantara di Mesir dan Qatar terhadap cadangan yang diterimanya pada Isnin lalu.
Setelah hampir tujuh bulan Israel menggempur Gaza melalui serangan udara dan darat, rundingan masih menemui jalan buntu dengan Hamas tetap menegaskan sebarang perjanjian gencatan senjata mesti menamatkan perang dengan Israel.
Antara syarat utama Hamas termasuk gencatan senjata kekal, pengunduran askar Israel dari Gaza dan membenarkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal untuk pulang ke kampung halaman mereka dan kemasukan bantuan dan pembinaan semula Gaza.
Hamas juga berkata bahawa ia sudah bersedia untuk memuktamadkan pertukaran tebusan dengan Israel dalam perjanjian tersebut.
Kenyataan Hamas itu muncul selepas pemimpin paling kanan Hamas, Ismail Haniyeh, kehilangan tiga anaknya dan empat cucu dalam serangan Israel baru-baru ini.
Israel mahu mendapatkan kembali tebusan yang ditahan oleh Hamas dalam serangan 7 Oktober tetapi tidak akan berhenti berperang sehingga Hamas dimusnahkan sebagai pasukan tentera.
Pada masa sama Israel juga mengatakan masih merancang untuk melakukan serangan ke atas bandar Rafah di selatan Gaza, di mana lebih sejuta orang awam sedang berlindung.
Nnn
