PRN Sabah September 2025

TUARAN 13 April –  Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah hanya akan diadakan selepas tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada iaitu September tahun depan, kata Ketua Menteri, Hajiji Noor.

Beliau memberi bayangan itu apabila menyatakan tempoh DUN semasa masih panjang dan banyak urusan pentadbiran perlu diselesaikan khususnya beberapa isu pembangunan dihadapi rakyat negeri ini.

“Saya sebagai ketua kerajaan Sabah akan membuat keputusan bila kita mengadakan pilihan raya, tapi tempoh (DUN) kita sekarang sehingga hujung September tahun depan,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Dewan Sri Sulaman, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman ditanya sama ada sudah memikirkan tarikh PRN17 memandangkan ramai menjangkakan pilihan raya diawalkan sejajar peningkatan suhu politik di Sabah kebelakangan ini.

“Kita ada banyak lagi tugasan perlu ditunaikan dan dilaksanakan, khususnya menyelesaikan masalah rakyat seperti isu air.

“Walaupun masalah air bukan perkara baharu dan diwarisi daripada kerajaan lalu, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan menyelesaikannya.

“Kita mempunyai peruntukan RM300 juta untuk melaksanakan beberapa projek dan selepas siap nanti akan melancarkan agihan air di Kota Kinabalu dan juga daerah yang lain,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri menjangkakan masalah air khususnya di ibu negeri dan daerah sekitarnya selesai dengan siapnya pelaksanaan projek berkaitan tahun ini.

Tahun lalu, Hajiji pernah menyuarakan jangkaan PRN17 diadakan lebih awal, termasuk kemungkinan tahun ini namun tertakluk kepada situasi politik semasa di negeri ini.

Related posts

Leave a Comment