Itu sejadah mini bukan alas kaki

SEPANG 13 April – Sejadah mini bukan alas kaki. Itu penjelasan AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) berhubung sejadah yang dilabel secara tidak tepat sebagai alas pintu.

Penjelasan itu susulan laporan media Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) merampas 11 alas kaki bergambar Kaabah yang dijual di sebuah pasar raya di Batu Pahat, sehari sebelum Aidilfitri lalu susulan aduan orang awam selain tular di media sosial.

Dalam kenyataannya hari ini, AEON BiG berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai isu berkenaan pada Selasa lalu dan memberi kerjasama sepenuhnya serta kenyataan kepada JAIJ.

Menurut kenyataan itu, pembekal terbabit, A&R Fashion Collection (A&R) adalah Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) milik 100 peratus Bumiputera dan Islam yang membekalkan pakaian muslimah patuh syariah seperti jubah solat, tudung, kurta, sampin, songkok serta produk lain seperti sejadah, permaidani dan tikar.

“A&R mengesahkan produk berkenaan sememangnya sejadah mini, yang mana coraknya adalah dalam format menegak yang merupakan amalan biasa,” kata kenyataan itu.

Syarikat pembekal itu ditubuhkan pada 2007 dan sudah menjadi pembekal pasar raya berkenaan sejak 2015, selain menjadi pembekal kepada peruncit lain serta mengendalikan kedai sendiri.

Bagaimanapun, AEON BiG berkata, selaras amalan terbaik syarikat untuk pembekal PKS, A&R menggunakan kod barangan dalam sistem yang sebelum ini digunakan untuk produk lain syarikat berkenaan.

Akibatnya, label yang digantung pada produk menunjukkan pelbagai deskripsi, menyebabkan kekeliruan.

Bagaimanapun perkara ni sudah diperbetulkan serta-merta dalam sistem pengurusan barangan AEON BiG dan deskripsi barangan itu sebagai sejadah sudah dicerminkan.

Susulan itu kedua-dua pihak pengurusan AEON BiG dan A&R berharap kenyataan bersama itu akan menjelaskan sebarang keraguan mengenai isu ini.

“Kami berharap spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum akan dihentikan.

“AEON BiG dan A&R akan terus bekerjasama dengan JAIJ dan mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut yang diperlukan,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment