TOKYO : Menjelang tahun 2050, sebanyak 10.8 juta warga emas di Jepun akan tinggal bersendirian, membentuk 20.6% daripada semua isi rumah.
Jumlah itu mengikut unjuran yang dikeluarkan setiap lima tahun oleh Institut Penduduk dan Penyelidikan Keselamatan Sosial Negara.
Menurut kajian terbaharu itu, satu daripada lima isi rumah Jepun akan menjadi warga emas yang tinggal bersendirian.
Ia menandakan peningkatan sejak 2020, apabila 7.37 juta warga emas, atau 13.2% daripada semua isi rumah, tinggal bersendirian.
Unjuran itu muncul ketika orang muda Jepun menangguhkan perkahwinan atau memilih untuk tidak mempunyai anak kerana mereka tidak mampu berbuat demikian.
Jepun sedang menghadapi krisis penduduk yang semakin meruncing, kerana populasi warga emasnya yang semakin meningkat membawa kepada kos perubatan dan kebajikan yang melambung tinggi serta tenaga buruh yang semakin berkurangan untuk membayarnya.
Menurut institut itu, ramai warga emas kini mempunyai anak atau adik beradik yang boleh menjaga mereka, walaupun mereka tinggal bersendirian.
Bagaimanapun dalam tempoh 30 tahun dari sekarang, perkadaran rumah tangga tunggal warga tua tanpa anak – sama ada berkahwin, kehilangan nyawa atau berpisah – dijangka meningkat.
Pada masa sama kajian itu menunjukkan, bilangan adik-beradik individu itu juga akan berkurangan.
Penduduk keseluruhan Jepun menyusut sebanyak 595,000 kepada 124 juta pada 2023, menandakan kejatuhan tahunan ke-13 berturut-turut.
