Seri Paduka sertai solat Aidilfitri

KUALA LUMPUR 10 April – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada pukul 8.23 pagi diiringi Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri.

Ini kali pertama Seri Paduka Baginda menunaikan solat sunat Aidilfitri di Istana Negara selepas melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

Solat sunat Aidilfitri yang disertai kira-kira 200 jemaah dipimpin Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh.

Khutbah Aidilfitri bertajuk ‘Hakikat Kemenangan’ dibacakan Munir antaranya menyeru umat Islam memanfaatkan keberkatan Aidilfitri untuk memperbaiki hubungan persaudaraan sesama anggota masyarakat.

Selain itu, Aidilfitri juga merupakan peluang terbaik untuk memperbaiki hubungan sesama umat Islam dan meninggalkan budaya label-melabel, caci-mencaci dan tuduh-menuduh sesama sendiri.

Hakikatnya kita semua bersaudara. Terkadang dipecahkan oleh hal-hal yang sangat remeh, namun membawa kesan berpanjangan.

“Maka berusahalah memperbaiki hubungan sesama umat Islam atau kita berusaha menjadi pendamai kepada umat Islam yang berselisih,” katanya.

Dalam pada itu, selepas selesai solat sunat itu, Seri Paduka Baginda bersalaman dengan jemaah yang hadir.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah kemudian berkenan bersalaman dengan hadirin yang berangkat ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama Perdana Menteri, Anggota Jemaah Menteri, Timbalan-timbalan Menteri dan Dif Kenamaan.

Related posts

Leave a Comment