Pemimpin politik jangan ekstrim – Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR 9 April – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menjunjung titah di atas nasihat Sultan Ibrahim untuk menjaga keharmonian negara dan memelihara kesucian agama Islam agar polemik yang berlaku dapat diredakan.

Exco Kerajaan Negeri Melaka itu memberitahu demikian selepas dititah menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Turut sama Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan dan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka,  Rauf Ab Yusoh.

“Saya menjunjung titah di atas nasihat KDYMM Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga keharmonian negara dan memelihara kesucian agama Islam agar polemik yang berlaku dapat diredakan.

Didoakan semoga KDYMM Yang di-Pertuan Agong dikurniakan kekuatan dan kesihatan serta terus kekal bersemayam di singgahsana dan dapat memerintah negara dengan penuh kedaulatan dan kebesaran,” katanya melalui Facebooknya.

Sementara itu, Istana Negara dalam kenyataan juga memaklumkan turut diterima menghadap adalah Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong

Menurut kenyataan itu, sesi menghadap bersama Seri Paduka Baginda bertumpu kepada perkembangan semasa berkaitan isu-isu sensitiviti agama dan kaum.

“Saya ingin menasihati semua pihak untuk memberi tumpuan untuk mengajak rakyat ke arah perpaduan, bukannya perpecahan. Saya ingin melihat rakyat bersatu padu dengan harmoni,” titah Sultan Ibrahim.

“Saya berharap pemimpin politik tidak ekstrim dalam memberikan pandangan tentang isu-isu agama dan perkauman. Bukan hanya UMNO dan DAP, tetapi juga semua parti. Pemimpin mesti menjadi jambatan atau penghubung antara rakyat majmuk negara kita dengan contoh perilaku yang matang.

“Kejadian baru-baru ini sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa semua lapisan rakyat mempunyai tanggungjawab menjaga perpaduan negara. Perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sejagat Malaysia.

Menjelang Hari Raya yang mulia ini, bermaaf-maafanlah antara satu sama lain dan buka lembaran baharu,” titah Seri Paduka Baginda.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment