Subsidi tepung dialih ke Payung Rahmah

KUALA LUMPUR 25 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak menamatkan subsidi tepung gandum bernilai RM40 juta sebaliknya dialihkan ke butiran perbelanjaan program Payung Rahmah membabitkan dana keseluruhan RM200 juta.

Timbalan Menteri, Fuziah Salleh, berkata dana bernilai RM40 juta bagi pemberian subsidi barang itu tidak pernah dituntut, sebelum ini.

“Pada Bajet 2023 ada butiran 040600 iaitu subsidi tepung gandum kegunaan am (bernilai) RM40 juta, manakala Bajet 2024, butiran ini tiada dan ditanya dalam dewan, sebelum ini.

Ketika itu saya menggulung (perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024) peringkat Jawatankuasa (bagi KPDN). Semak hansard sebab saya ada jawab, saya ingat Rasah (Cha Kee Chin) yang bertanya.

“Sudah beberapa tahun ia tak pernah dituntut kerana tiada kilang mahu menghasilkan tepung gandum kegunaan am, selain rakyat pun tak pernah minta… yang keluar tepung pelbagai cap,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai penamatan pemberian subsidi tepung gandum kegunaan am, pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Subsidi tepung gandum kegunaan am merangkumi pengagihan kuota dan bayaran tuntutan subsidi kepada pengilang tepung gandum bagi memastikan tepung gandum bersubsidi dijual pada harga runcit RM1.35/kg.

Program subsidi tepung gandum kegunaan am membabitkan pengilang tepung gandum dan syarikat perbekalan khas yang diluluskan di bawah Jawatankuasa Induk Program Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am (JIPSTG).

Pada 20 Mac lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata kerajaan menamatkan subsidi tepung gandum kegunaan am mulai 2024 berikutan pengilang tidak mampu untuk mengeluarkan tepung bersubsidi pada harga kawalan RM1.45 sekilogram.

Menjawab soalan asal, Fuziah menafikan pengedaran barangan keperluan bersubsidi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lebih baik, berbanding selepas tempoh berkenaan seperti dinyatakan Mas Ermiyati.

Beliau berkata, pengeluaran bulanan minyak masak peket pada tahap maksimum iaitu 60,000 tan tahun lalu, berbanding purata 55,000 tan, pada 2022.

Selain itu, katanya, pengeluaran gula ialah sebanyak 437,290 tan, manakala pengedaran adalah 430,713 tan tahun lalu, berbanding 437,290 tan pengeluaran dan 430,713 tan pengedaran barangan itu, pada 2022.

“Maksudnya, tidak benarlah jika menyatakan pengedaran barangan bersubsidi lebih baik dan terkawal sebelum PRU15. Data tidak menunjukkan begitu.

“Bagi beras tempatan pula, ia di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, seliaan sepenuhnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Kita tahu ianya 60 peratus tahap sara diri (SSL) beras tempatan tetapi saya tak boleh beri maklumat lanjut kerana ia dibawah kawalan sepenuhnya KPKM.

“Jika orang mengadu tiada beras tempatan di pasaran pun, KPDN tiada punca kuasa. Kita cuma salurkan kepada KPKM dan bekerjasama dalam meneliti aduan terbabit,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment