PUTRAJAYA 25 Mac – Sebanyak 7.7 juta individu sudah mengemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU), setakat tengah malam tadi, peningkatan mendadak berbanding 5.4 juta yang direkodkan pada 17 Mac lalu.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam kenyataannya berkata, daripada jumlah pendaftaran terkini, kadar pendaftaran dalam kalangan individu berumur 18 tahun ke atas mencecah 35.1 peratus atau 21.97 juta.
“Kami optimis bahawa angka ini akan terus meningkat, berpotensi mencapai atau bahkan melebihi 50 peratus menjelang tarikh akhir pada 31 Mac. Orang ramai digalakkan tidak menunggu hingga saat akhir untuk mendaftar,” katanya.
Dalam pada itu, negeri paling tinggi yang mengemas kini sistem PADU adalah di Selangor dengan 1.19 juta, diikuti Sarawak dan Johor masing-masing 0.86 juta.
Perak dengan 0.73 juta, Sabah (0.67 juta), Kedah (0.57 juta), Kelantan (0.51 juta), Kuala Lumpur (0.47 juta), Terengganu (0.37 juta) dan masing-masing 0.43 juta di Pulau Pinang dan Pahang.
Ini diikuti Negeri Sembilan (0.32 juta), Melaka dengan 0.23 juta, Perlis (0.09 juta), Putrajaya (0.03 juta) dan Labuan (0.02 juta).
PADU dilancarkan Pada 2 Januari lalu, oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pangkalan data berkaitan maklumat asas demografi, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima rakyat.
Objektifnya untuk menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan, menggubal dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data serta mengimbangi kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan dasar secara bersasar.
Nnnn
