Sudah cukup dunia lihat kengerian di Gaza

RAFAH: Dunia sudah cukup melihat keadaan ngeri yang meluas akibat peperangan di Semenanjung Gaza, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Justeru beliau merayu gencatan senjata dilaksanakan segera untuk membenarkan lebih banyak bantuan dibawa masuk ke kawasan dilanda krisis kemanusiaan yang semakin meruncing itu.

Katanya, rakyat Palestin di Gaza sama ada kanak-kanak, wanita, lelaki – terus terperangkap dalam mimpi ngeri tanpa henti.

“Saya membawa suara sebahagian besar dunia yang sudah cukup melihat komuniti dimusnahkan, kediaman dirobohkan, dan keseluruhan keluarga serta generasi dihapuskan,” katanya ketika melawat lintasan Rafah di sebelah Mesir, semalam.

Beliau mengulangi kenyataan bahawa tiada justifikasi untuk serangan yang dilakukan oleh Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober tahun lalu

“Begitu juga tiada justifikasi untuk hukuman secara kolektif dilakukan ke atas rakyat Palestin,” katanya.

Guterres turut menyifatkan keadaan deretan trak membawa muatan bantuan tersekat di pintu lintasan itu sedangkan krisis kebuluran sedang mencengkam begitu ramai rakyat Palestin di Gaza, sebagai satu isu moral.

Beliau menekankan sudah lebih daripada tiba masanya untuk gencatan senjata dilaksanakan segera demi kemanusiaan, selain merayu Israel supaya membolehkan akses secara menyeluruh serta tidak terhalang kepada bantuan kemanusiaan di seluruh Gaza.

(foto UN)

Nnn

Related posts

Leave a Comment