KUCHING 23 Mac – Sarawak meminta beberapa perubahan dibuat berkait maklumat peribadi yang diminta diisi dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU), kata
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri baru-baru ini berikutan timbul keraguan berhubung maklumat peribadi individu.
Katanya, ia bukan bermakna kerajaan Sarawak tidak menyokong inisiatif Kerajaan Persekutuan, tetapi sekadar meminta PADU diteliti semula kerana melihat ada maklumat peribadi yang tidak sepatutnya didedahkan.
“Ini membabitkan maklumat peribadi. Jika tiada keraguan, sudah tentu kami akan menyokong PADU, tapi ada beberapa perkara penting yang kami mahu kementerian terbabit jelaskan dan mungkin butiran tertentu yang mereka tidak perlu minta,” katanya.
Abdul Karim juga mengibaratkan pendaftaran dalam PADU ibarat ‘menelanjangkan diri’ apabila mendedahkan semua butiran peribadi, termasuk akaun bank, hartanah dan pelaburan.
Saya tidak fikir itu cara yang betul untuk rakyat. Kita semua mempunyai hak untuk menjaga privasi. Kita sudah ada sistem e-Kasih bagi mengenal`pasti golongan miskin yang memerlukan bantuan, jadi apa keperluan ada PADU pula?,” soalnya.
Katanya, PADU juga tidak harus dilaksanakan secara tergesa-gesa dan memaksa semua rakyat mendaftar.
“Jika PADU bertujuan membantu orang miskin, biarlah orang miskin mendaftar, bukannya mewajibkan semua orang mendaftar,” katanya.
PADU dilancarkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu sebagai pangkalan data berkaitan maklumat asas demografi, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima rakyat.
Objektifnya untuk menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan, menggubal dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data serta mengimbangi kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan dasar secara bersasar.
Setakat semalam, seramai 7.07 juta daripada 30.08 juta rakyat sudah mengemas kini data dalam sistem berkenaan.
Mnn
