Muhyiddin tidak layak cabar kerajaan

BUKIT MERTAJAM 9 Mac – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin tidak layak mencabar Kerajaan Perpaduan mengisytiharkan pengosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik wakil Bersatu yang menyokong kerajaan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keputusan sama ada pengosongan enam kerusi Parlimen dan satu DUN berkenaan sepatutnya dibuat individu yang mewakili semua kerusi berkenaan.

Anwar yang turut menyifatkan Muhyiddin ‘pakar lompat’ berkata,  Presiden Bersatu itu tidak boleh membuat sebarang keputusan mengenainya termasuk mencabar Kerajaan Perpaduan yang mendapat sokongan wakil rakyat terbabit.

“Kenapa tanya saya? Dia (Muhyiddin) yang pakar pergi lompat dan ‘scheme of things’, itu dia patut jawab mengapa orang sudah hilang keyakinan kepada Bersatu,” katanya di sini, hari ini.

Beliau ditemui pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.

Muhyiddin dalam ucapan di Kuala Lumpur mencabar Kerajaan Perpaduan mengisytiharkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kosong selepas wakil rakyat Bersatu menyokong Kerajaan Perpaduan .

Presiden Bersatu itu juga menegaskan, mandat harus dikembalikan kepada rakyat menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) di semua kerusi berkenaan.

Enam Ahli Parlimen daripada Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri ialah  Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang),  Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli),  Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan  Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Terkini, ADUN Selat Klang Abdul Rashid Asari yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Nnn

Related posts

Leave a Comment