KUALA LUMPUR: Tiga pelan tindakan perlu dilakukan untuk memastikan sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional (PN) terus meningkat dan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU16), seterusnya membentuk kerajaan.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang optimis gabungan dianggotai Bersatu, Pas, Gerakan dan Parti Maju Sabah (SAPP) itu bakal menjadi pilihan utama pengundi pada PRU16 mahu semua pihak dalam PN terus istiqamah dalam perjuangan.
Katanya, ahli PN tidak boleh berasa lemah atau gundah gulana kerana bergelar pembangkang ketika ini, sebaliknya mesti yakin dengan kekuatan gabungan dan komited melaksanakan peranan sebagai pembangkang.
“Rakyat meletakkan harapan yang tinggi kepada PN untuk memainkan peranan semak dan imbang dalam sebuah negara demokrasi. Rakyat mahu kita menjadi suara mereka, baik di Parlimen mahu pun di luar Parlimen.
Maka kita mesti melaksanakan amanah ini dan yakin kita berada di landasan yang betul dan jalan yang benar. Insya-Allah, selagi kita teguh dengan pendirian kita dan melaksanakan tanggungjawab kita dengan baik, rakyat akan menghargai usaha kita dan menyokong kita,” katanya.
Berucap pada Konvensyen Wakil Rakyat PN 2024, di sini hari ini, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata pelan tindak kedua, adalah PN mesti terus menjadi sebuah parti nasional yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.
Katanya , dasar parti mestilah selari dengan realiti Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama, memperjuangkan hak masyarakat Bumiputera dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Pada masa sama, hormati hak yang sah bagi semua kaum dan hak setiap individu untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Inilah rupa wajah dan jati diri Malaysia yang mesti kita pertahankan,” katanya.
Rangka tindak ketiga, katanya, PN mesti terus memperluaskan prinsip ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ sebagai tunjang dasar dan identiti gabungan yang juga tekad dan janji kepada rakyat semasa pilihan raya.
“Saya percaya rakyat memberi sokongan kepada PN kerana mereka yakin dan percaya dengan prinsip, dasar dan identiti kita. Mereka yakin dan percaya terhadap komitmen kita untuk sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat, memerangi rasuah dan mengekalkan kestabilan negara.
“Maka, kerajaan negeri yang berada di bawah pentadbiran PN hendaklah menjadikan prinsip ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ ini sebagai teras pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Beliau juga pada masa yang sama mahu empat kerajaan ditadbir PN mesti menjadi model pentadbiran kepada semua.
“Inilah peluang untuk membuktikan bahawa PN boleh mentadbir dengan cemerlang, termasuklah keupayaan empat kerajaan negeri menarik pelaburan, menjana pertumbuhan ekonomi negeri, menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.
Beliau berharap keupayaan mengurus hasil negeri dengan cekap dan telus, menjaga kebajikan rakyat serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di empat negeri ditadbir PN diangkat sebagai teladan.
“Walaupun usia baru menjangkau empat tahun, PN telah mendapat sokongan besar rakyat dengan memenangi 74 kerusi pada PRU15 dan menguasai empat kerajaan negeri pada masa ini.
“Namun, kita tidak boleh berasa selesa dengan tahap sokongan ini. Tugas kita sebagai wakil rakyat PN ialah untuk memastikan gelombang sokongan rakyat kepada PN terus meningkat sehinggalah kita berjaya memenangi PRU16 dan membentuk kerajaan semula,” katanya.
Nnnn
