KUALA LUMPUR 9 Mac – Perikatan Nasional (PN) tidak boleh bergantung kepada ‘gelombang rakyat’ semata-mata untuk memenangi pilihan raya sebaliknya perlu memiliki kekuatan dan identiti sendiri untuk menarik sokongan rakyat bagi membolehkan gabungan parti itu menerajui Putrajaya.
Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin, berkata kekuatan dan identiti yang terbina sendiri akan lebih meyakinkan rakyat terhadap prinsip perjuangan gabungan parti itu.
Dalam ucapan aluan sempena Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN 2024 di sini, hari ini, beliau mengingatkan bahawa rakyat pada ketika ini bukan sekadar menghakimi kerajaan tetapi juga pihak pembangkang.
“Apakah kita benar-benar menjadi juara yang mengangkat suara mereka? Apakah kita benar-benar menyantuni dan mendengar setiap denyut nadi mereka? Soalan ini perlu ditanya kepada diri sendiri dan jawablah secara adil pada diri sendiri
Jangan anggap pengundi akan terus bersama kita. Betul, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu berlaku gelombang luar biasa dalam kalangan pengundi khususnya orang Melayu sehingga PN menang besar Tapi ingat… Gelombang ada pasang surutnya.
“Sebagai sebuah parti, kita perlu ada kekuatan sendiri dalam meyakinkan rakyat dan tidak boleh bergantung kepada gelombang semata-mata. Jika tidak kita juga akan dihukum,” katanya.
Beliau berkata, PN mesti memahami sentimen rakyat, di mana ketika ini isu utama adalah soal kehidupan rakyat, kos sara hidup rakyat yang menyentuh perut rakyat, soal makanan atas meja rakyat dan bagaimana rakyat hidup dengan bermakna.
Justeru tanpa mengira jawatan, Hamzah berkata, ahli yang bernaung di bawah panji PN wajib mempunyai roh perjuangan dalam diri dan hati sebagai benteng melawan godaan bersifat kepentingan peribadi.
“Kita adalah keluarga besar Perikatan Nasional. Kita satu ketumbukan. Kitalah tiang serinya, lantainya, juga dinding dan bumbungnya, yang saling lengkap-melengkapi bagi memastikan Perikatan Nasional kembali menjadi kerajaan,” katanya.
Tegas beliau, episod pengkhianat ahli tidak boleh dibiar berulang dan mengingatkan semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Senator daripada Bersatu supaya menjadikan peristiwa itu sebagai pengajaran.
“Sejarah mengajar perjuangan itu penuh onak dan pancaroba. Ramai yang tersungkur di tengah jalan. Hanya yang teguh imannya, cekal hatinya dan istiqamah jiwanya mampu menyalakan obor perjuangan suci demi agama, bangsa dan negara,” katanya.
Beliau berkata, episod pengkhianatan dalam PN membabitkan wakil rakyat PN amat mengecewakan tetapi Allah hadirkan sesuatu perkara itu ada hikmahnya.
“Sekurang-kurangnya, kita kenal mana intan, mana kaca dan yang mana ikhlas serta yang mana sekadar mencari laba.
“Apa yang penting PN tidak rebah dan perjuangan suci ini tidak akan sesekali dibiarkan musnah. Kita bermula dengan 74 Ahli Parlimen dan 210 ADUN, selain 10 Ahli Dewan Negara.
“Percaya dan yakinlah, bila tiba saatnya, Insya-Allah kita akan kembali memerintah,” katanya.
Nnn
