KUALA LUMPUR 9 Mac – “Jika berani, isytiharkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN Selangor itu kosong,” Itu cabaran Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, berikutan tujuh wakil rakyatnya menyokong Kerajaan Perpaduan.
Beliau mencabar Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim untuk mengisytiharkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikosongkan susulan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu di kerusi terbabit beralih pendirian menyokong Perdana Menteri.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menegaskan, mandat harus dikembalikan kepada rakyat menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) di semua kerusi berkenaan.
“Kita kembalikan mandat kepada rakyat, dan biarlah rakyat yang membuat perhitungan. Saya bukan hendak mendabik dada tetapi saya yakin, insya-Allah, PN akan menang lebih besar di kerusi-kerusi ini jika PRK diadakan,” katanya.
Beliau membuat cabaran itu ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN 2024, di sini, hari ini.
Enam Ahli Parlimen daripada Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Baru-baru ini ADUN Selat Klang Abdul Rashid Asari yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.
Muhyiddin dalam pada itu berkata apa yang berlaku sekarang adalah sandiwara di pihak kerajaan dan rakyat tahu apa yang berlaku.
Beliau juga mengajak seluruh anggota PN anggota parti istiqamah dalam perjuangan serta tidak berasa lemah atau gundah gulana sebagai pembangkang di peringkat persekutuan.
“Sebaliknya, kita mesti yakin dengan kekuatan kita dan komited untuk melaksanakan peranan kita sebagai pembangkang.
Rakyat meletakkan harapan yang tinggi kepada PN untuk memainkan peranan check-and-balance atau semak dan imbang dalam sebuah negara demokrasi.” katanya.
Nnnn
