Wan Saiful diberi tempoh sehingga hujung minggu

SEREMBAN 4 Mac –  Wan Saiful Wan Jan diberi tempoh sehingga hujung minggu ini untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan beliau disogok untuk menyokong Perdana Menteri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, sekiranya Wan Saiful tidak berbuat demikian, pihaknya akan mengambil satu tindakan terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, tetapi tidak mendedahkan bentuk tindakan itu.

Katanya, setakat ini Wan Saiful belum lagi datang ke SPRM untuk membuat aduan atau laporan berhubung dakwaan yang dibangkitkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Jadi kita akan panggil beliau dalam tempoh minggu hadapan sekiranya dalam minggu ini beliau masih belum datang ke SPRM untuk buat laporan. Saya akan bagi arahan kepada pegawai saya untuk satu tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Bicara Eksekutif Anti Rasuah Kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan Yang ke-15, di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Azam, juga mengulangi kenyataannya sebelum ini, bahawa Ahli Parlimen itu sepatutnya membuat laporan ke SPRM berikutan kenyataan itu mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan bukannya menunggu SPRM memanggilnya.

“Ini bukan masalah kami kena pergi cari beliau. Beliaulah kena datang ke pejabat SPRM atau mana-mana balai polis terdekat (buat aduan). Tak kanlah saya nak pergi jumpa beliau pula atau nak ambil beliau di rumah dan nak bawanya ke pejabat.,” katanya.

Sebelum ini Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat mendakwa diugut serta ditawarkan imbuhan supaya menyatakan sokongan kepada Anwar.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau mendakwa ditawarkan habuan sebagai balasan antaranya peruntukan wakil rakyat bernilai RM1.7 juta serta pengguguran pertuduhan kes di mahkamah.

Wan Saiful juga mendakwa dihubungi oleh SPRM selepas membangkitkan perkara itu tetapi Azam menafikannya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment