KUALA LUMPUR 19 Feb. – Bekas Ahli Parlimen Bukit Mas, Mutang Tagal, 69 mencatat sejarah sebagai pemimpin pertama daripada etnik Lun Bawang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.
Mutang yang berasal dari Lawas, Sarawak, dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20, menggantikan Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatan, susulan dilantik Yang Dipertua Negeri Sarawak pada 26 Januari lalu.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengemukakan nama Mutang, yang juga calon tunggal sebagai cadangan nama ahli untuk dipilih pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen ke-15 Dewan Negara, semalam.
“Beliau adalah seorang pengamal undang-undang dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Rakyat selama dua penggal. Sesungguhnya beliau mempunyai pengalaman amat luas,” kata Anwar.
Cadangan itu disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Terdahulu, Mutang yang memiliki latar belakang sebagai seorang pengamal undang-undang dan kini aktif dalam perniagaan, mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Mutang menjadi Ahli Parlimen Bukit Mas dari 1982 hingga 1990, memiliki Master of Business Administration (MBA) daripada Curtin University dan kini menjawat beberapa jawatan termasuk antaranya Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI).
Beliau juga Penasihat Undang-undang Persatuan Lun Bawang Sarawak dan Naib Presiden, Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF).
Sementara itu, Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Mutang sebagai Ahli Dewan Negara adalah bagi tempoh tiga tahun bermula 15 Februari lalu hingga 14 Februari 2027.
