Rampasan minuman keras, rokok RM98.7 juta

KUCHING 7 Feb. – Polis mencatat nilai rampasan minuman keras dan rokok terbesar bernilai RM98.7 juta termasuk cukai dalam Op Taring Alpha yang diadakan di sini, semalam, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mancha Ata.

Katanya, seramai lapan lelaki tempatan berusia 22 hingga 67 tahun turut ditahan pada serbuan yang dijalankan di tiga premis berasingan di Jalan Setia Raja, Jalan Padungan dan Kota Sentosa.

Beliau berkata,  serbuan dilakukan sepasukan anggota Pasukan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDKNA), Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5, Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

“Hasil serbuan itu, polis merampas 2,858 kotak rokok dan minuman keras pelbagai jenis dengan sebahagian besarnya sudah luput tarikh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Mancha berkata, siasatan kes itu kini dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan denda sehingga RM100,000.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment