Najib mahu mohon pengampunan penuh

KUALA LUMPUR 7 Feb . – Pihak pembelaan Najib Razak berhasrat untuk membuat permohonan pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bagi bekas Perdana Menteri berkenaan ke atas hukuman membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah, berkata pihaknya masih menunggu arahan daripada anak guam untuk berbuat demikian.

“Saya mesti ulangi, anak guam saya tidak benar-benar gembira dengan keputusan dia tidak mendapat pengampunan penuh. Kami sedang menunggu arahan daripada anak guam saya untuk membuat permohonan terbaharu,” katanya di lobi Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.

Muhammad Shafee  memaklumkan permohonan itu dibuat disebabkan anak guamnya tidak mendapat keadilan ketika perbicaraan dan semasa proses Lembaga Pengampunan.

Mengenai kriteria dan jangka masa permohonan baharu itu, Muhammad Shafee menegaskan ia tidak akan dilakukan terlalu cepat kerana Sultan Ibrahim ‘belum memanaskan tempat duduk baginda’.

“Sudah tentu itu antara kriterianya, yang lain saya mahu tunggu arahan daripada anak guam untuk mempertimbangkan faktor lain,” katanya.

Ditanya sama ada kekurangan penilaian Lembaga Pengampunan yang mewujudkan proses ketidakadilan menjadi asas kepada permohonan baharu, peguam itu menjawab:

“Ya. sudah tentu ia antara lain (asas permohonan baharu),” katanya.

Pada 2 Februari lalu, Najib dilapor diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.

Related posts

Leave a Comment