KUALA LUMPUR 5 Feb. – Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) bersetuju melantik Rozi Mamat dan Onn Hafiz Ghazi masing-masing sebagai Pengerusi Jawatankuasa BN Terengganu dan Johor.
Setiausaha Agung BN, Dr Zambry Abdul Kadir, berkata mesyuarat hari ini juga melantik Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian-bahagian berdasarkan fasal 24(A).
Zambry yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, mesyuarat juga membincangkan dan bersetuju beberapa perkara penting lain berkait rapat perkembangan semasa negara.
Antaranya BN dengan takzimnya merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim yang dimasyhurkan pada 31 Januari lalu.
Sehubungan itu katanya, BN mendoakan pemerintahan Sultan Ibrahim membawa Malaysia ke arah lebih makmur dan sejahtera.
BN turut menjunjung kasih ke atas Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyempurnakan tempoh pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Dewan Tertinggi BN juga menghormati keputusan Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan serta mendukung segala langkah yang bakal diambil selaras dengan lunas undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sempena Ulang Tahun Jubli Emas BN ke-50, Dewan Tertinggi BN juga bersetuju membentuk satu Jawatankuasa Khas bagi menyelaras semua program bersempena sambutan ulang tahun berkenaan pada Jun depan,” kata Zambry.
