73 lagi tahanan PATI masih diburu

TAPAH 5 Feb. – Sehingga pukul 8 malam ini, sebanyak 56 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang lolos dari Depoh Imigresen Sementara Bidor Khamis lalu ditahan, 73 lagi masih diburu manakala dua lagi maut dalam kemalangan jalan raya.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata, pada tengah hari ini, hasil maklumat orang awam, dua lagi ditahan di ladang kelapa sawit di Sungkai.

Beliau memberitahu, tangkapan tahanan PATI itu dibuat sekitar kawasan pentadbiran Tapah membabitkan kawasan Sungkai, Bidor dan Tapah.

“Kami percaya tahanan yang lolos masih berada di kawasan kampung dan hutan di sekitar kawasan pentadbiran Tapah,” katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Mohd Yusri berkata, pihak polis meminta kerjasama orang ramai mengesan tahanan Rohingya dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menyukarkan situasi semasa.

Dalam kejadian malam Khamis lalu, seramai 131 tahanan bolos dari blok lelaki depoh berkenaan, termasuk seorang yang kemudian maut akibat kemalangan jalan raya.

Related posts

Leave a Comment