Pengampunan: DAP perlu nyatakan pendirian isu berkaitan

KUALA LUMPUR 5 Feb. – Kepimpinan DAP perlu menyatakan pendirian terhadap beberapa isu berkaitan dan penting susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Bekas ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, berkata, DAP perlu menyemak semula pendirian parti terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang menjadi sebahagian kempen ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan 2022.

Beliau menyifatkan, pengurangan hukuman terhadap Najib, mungkin dilihat sebagai kompromi dibuat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) bagi menenangkan penyokong Najib dalam UMNO.

“Tetapi ini tidak bermakna kepimpinan DAP mesti berdiam diri dalam pendiriannya terhadap beberapa isu berkaitan dan penting.

Pendirian ini termasuklah berkait perbicaraan kes 1MDB yang sedang berlangsung terhadap Najib harus diteruskan dan tidak mengalami nasib sama seperti kes melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kian Ming juga menggesa agar kepemimpinan DAP menyatakan pendirian mereka mengenai siasatan terhadap bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, yang didakwa menyindir keputusan Lembaga Pengampunan.

Katanya, kepemimpinan DAP tidak boleh melupakan usaha Pua yang tidak henti-henti mendedahkan butiran skandal 1MDB dalam dan luar Parlimen ketika beliau menjadi ahli Parlimen.

“Tanpa sumbangan Tony (Pua), kita mungkin tidak mengalami perubahan dalam kerajaan dalam PRU 2018 dan Najib tidak akan didakwa, dibicarakan dan disabitkan kesalahan atas peranannya dalam skandal 1MDB.

“Bermula dengan pertuduhan SRC International yang mana beliau kini sedang menjalani hukumannya,” katanya.

Beliau turut menuntut kepemimpinan DAP mengulangi komitmennya bagi memerangi rasuah dan mempromosikan reformasi institusi selaras dengan apa yang telah diperjuangkan sejak parti itu ditubuhkan pada 1965.

“Ia mesti komited untuk mendesak reformasi institusi yang dinyatakan dalam manifesto PH pada pilihan raya umum 2022.” katanya.

Antara lain, pelantikan ketua pesuruhjya SPRM mesti diluluskan oleh jawatankuasa pilihan khas parlimen dwipartisan, pengisytiharan harta oleh semua menteri, ahli Parlimen, penjawat awam kanan, dan pengerusi GLC serta ahli keluarga mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

“Pengenalan Akta Perolehan Kerajaan (GPA) yang mengehadkan kekerapan dan skop rundingan terus. Had dua penggal atau 10 tahun bagi jawatan perdana menteri, menteri besar, dan ketua menteri,” katanya.

Ong turut menimbulkan tentang pemisahan kuasa Jabatan Peguam Negara kepada peranan peguam negara dan pendakwa raya.

Beliau berkata, kebanyakan daripada reformasi institusi ini juga akan disokong oleh parti komponen lain dalam kerajaan campuran persekutuan, terutamanya jika terdapat kemungkinan beberapa parti yang kini dalam kerajaan mungkin kembali menjadi pembangkang selepas pilihan raya umum akan datang.

“Sememangnya, saya berhujah bahawa meluluskan beberapa reformasi institusi ini akan membantu UMNO untuk menunjukkan pengundi, termasuk pengundi Melayu, bahawa ia boleh menyelaraskan dirinya dengan prinsip tadbir urus yang baik dan institusi yang lebih kukuh,” kata Ong.

Dan meluluskan beberapa undang-undang dan peraturan institusi ini akan membantu DAP dan PH meyakinkan penyokong mereka bahawa agenda reformasi masih boleh dilaksanakan walaupun Najib akan menerima pengampunan penuh pada masa depan.

Beliau mengingatkan jika komitmen ini tidak dapat dilaksanakan, DAP dan PH berdepan kemungkinan sebenar bahawa kadar peratusan keluar mengundi di kalangan penyokongnya akan mengalami kejatuhan ketara pada pilihan raya umum.

Katanya, sebahagian penyokong mungkin menukar sokongan mereka kepada Perikatan Nasional kerana meluat dengan kekurangan kepemimpinan moral dalam kalangan pemimpin DAP dan PH.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment