GAZA : Israel melancarkan serangan terbaharu di Gaza semalam mengakibatkan beribu-ribu rakyat Palestin terpaksa melarikan diri jauh ke selatan mencari perlindungan.
Serangan atau pengeboman oleh Israel berterusan walaupun negara pengantara, Qatar, berkata Hamas memberi sokongan ‘awal’ kepada syor pertukaran tahanan yang akan menghentikan perangnya dengan Israel.
Dalam pada itu, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin, UNRWA menyifatkan krisis di Gaza sebagai ‘sangat teruk’ ketika ribut
musim sejuk serta hujan lebat turut melanda wilayah pantai yang musnah.
“Keadaan di Gaza sangat teruk dan mereka sangat terdesak serta ‘terhimpit’, manakala dunia seolah-olah kehilangan nilai kemanusiaan,” kata UNRWA menerusi media sosial.
Menurut saksi, serangan Israel yang menyasarkan Gaza tengah dan selatan, memaksa ribuan rakyat Palestin melarikan diri, dengan sebahagian dilihat memakai sut hazmat tinggalan semasa memerangi wabak Covid-19, untuk melindungi diri mereka daripada cuaca buruk.
Persekutuan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) mengumumkan kematian tiga pekerja mereka, masing-masing dua pada Rabu dan seorang lagi semalam dalam kejadian di sekitar hospital Al-Amal di Khan Younis.
“Sebarang serangan ke atas pekerja penjagaan kesihatan, ambulans dan kemudahan perubatan tidak boleh diterima,” kata IFRC dalam satu kenyataan.
Bulan Sabit Merah Palestin sebelum ini berkata, penembak hendap Israel menembak satu daripada bangunan yang diduduki beribu-ribu orang bagi berlindung selepas melarikan diri dari kediaman mereka yang musnah diserang.
Peperangan yang berlanjutan hampir empat bulan itu memusnahkan Gaza, manakala pengepungan Israel mengakibatkan penduduk semakin kekurangan makanan, air, bahan api serta ubat-ubatan.
Sementara itu, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) menganggarkan sekurang-kurangnya 17,000 kanak-kanak di Gaza ditinggalkan tanpa ditemani atau terpisah daripada ibu bapa mereka akibat perang.
“Setiap orang mempunyai kisah menyayat hati mengenai kehilangan dan kesedihan,” kata jurucakap UNICEF di wilayah Palestin, Jonathan Crickx.
Katanya, usaha untuk mengesan keluarga kanak-kanak itu terbukti ‘amat sukar’ memandangkan mereka yang dibawa ke hospital akibat cedera atau trauma langsung tidak boleh menyebut nama masing-masing.
