Hukuman penjara Najib dikurang

KUALA LUMPUR 2 Feb. – Bekas Perdana Menteri, Najib Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan beliau bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Keputusan itu diumumkan Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Menurut satu kenyataan hari ini, sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

“Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-61 telah bersidang pada 29 Januari 2024.

Lima kertas pengampunan, termasuk permohonan Datuk Seri Najib Razak telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan itu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Yang di-Pertuan Agong ketika itu),” kata  kenyataan itu.

Menurut kenyataan berkenaan lagi, selepas mempertimbangkan pendapat serta nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu memutuskan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, selain pengurangan denda yang perlu dibayar.

Oleh yang demikian, Datuk Seri Najib Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal, iaitu 23 Ogos 2028, dan denda yang perlu dibayar sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.

Nnn

Related posts

Leave a Comment