Video tular bayar RM100 dalam siasatan

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Video tular “Bayar sini RM100, bayar di balai RM300,” kini  dalam siasatan pihak polis dan tindakan tegas akan diambil terhadap anggota yang kononnya menawarkan diskaun saman trafik kepada pasangan warga asing ketika ditahan di lokasi kejadian.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata pihaknya mengesan video mengenainya yang tular di media sosial hari ini.

Itu ungkapan seorang lelaki dipercayai anggota polis trafik ketika menahan sepasang warga asing yang juga pempengaruh media sosial tanpa mengetahui perbualan itu dirakam.

“Jam 4.30 petang hari ini, JSPT mengesan video tular di platform YouTube dan lain-lain media sosial mengenai tindakan anggota trafik menyaman dan menawarkan diskaun ke atas pasangan dari United Kingdom (UK) yang sedang melakukan edisi jelajah Malaysia itu.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menyiasat dakwaan itu dan tidak akan bertoleransi ke atas anggota dan pegawai terbabit,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau meminta orang ramai tidak membuat spekulasi tidak tepat dan kepada mereka yang mempunyai maklumat berkaitan diminta membantu pihak JSPT dalam menjalankan siasatan.

Kejadian itu tular selepas video memaparkan tindakan anggota polis terbabit dimuat naik menerusi halaman YouTube pasangan berkenaan sejak semalam sebelum dikongsi beberapa pengguna media sosial.

Pasangan terbabit dalam siri Jelajah Malaysia ditahan seorang individu dipercayai anggota polis kerana didakwa memandu melebihi had laju.

Anggota terbabit mendakwa pasangan berkenaan memandu selaju 80 kilometer sejam (km/j), melebihi had laju di laluan itu iaitu 60 km/j lalu mengeluarkan saman.

Bagaimanapun, anggota terbabit menawarkan diskaun saman daripada RM300 menjadi RM100 jika dibayar terus kepadanya.

Menerusi klip video itu, pasangan berkenaan menjelaskan keliru dengan tindakan anggota terbabit namun memilih untuk menerima tawaran diskaun berbanding membuat pembayaran di balai.

Nnn

Related posts

Leave a Comment