Ahli Parlimen sokong PM ketuai NACCOL

IPOH 28 Jan. – Ahli Parlimen Bukit Gantang dari Bersatu Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengisytiharkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan diberi tanggungjawab mengetuai jawatankuasa bagi menangani harga makanan dan kos sara hidup di bawah Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, Syed Abu Hussin Hafiz yang juga bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu akan mengepalai kluster itu bagi membantu kerajaan merangka pelan strategik bagi mengawal harga barang.

“Sahabat saya, Syed Abu Hussin sama-sama ambil inisiatif ini kerana walau kita lakukan pelbagai langkah, …kita tahu kos sara hidup meningkat. Walau kita umum tambahan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), tapi tak cukup kalau kita tak kawal harga barang.

“Saya terima teguran, permintaan orang ramai, kita adakan banyak jualan rahmah. Saya tengok harga ikan, ayam, beras (pada jualan) hari ini jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.

Ini kita kena perbanyakkan, sebab tu saya tugaskan Syed Abu Hussin untuk bantu NACCOL, saya mengesahkan supaya dia akan mengepalai kluster ini bagi menambah ikhtiar supaya Jualan Madani ini dapat kita tingkatkan, perluaskan dan kerapkan lagi di seluruh negara,” katanya berucap pada Jualan Termurah Madani di Padang Taman Klebang Restu, hari ini.

NACCOL adalah salah satu kluster dalam Sektor Hal Ehwal Kos Sara Hidup dan Penyelidikan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang berperanan merangka dasar, strategi serta pelan tindakan untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup untuk pertimbangan dan persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan mengambil maklum aduan rakyat berkenaan peningkatan harga barang keperluan seharian, meskipun ekonomi negara dilaporkan semakin pulih.

“Percayalah satu hal yang tak mudah kita lakukan (imbangi harga barang) kerana harga pasaran di mana-mana di seluruh dunia sudah meningkat dan mengesankan rakyat.

“Kalau kita cakap pelaburan tinggi, ekonomi baik, harga barang begitu juga naik. Jadi saya terima teguran itu, sebab itu kita cari jalan menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment