Dasar baharu jangan abaikan perkhidmatan awam

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Perikatan Nasional (PN) memandang serius keputusan Jemaah Menteri mengenai pengambilan pegawai kerajaan secara lantikan kontrak berkuat kuasa 1 Februari ini, kata Pengerusinya, Muhyiddin Yassin.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sebarang dasar baharu pelantikan penjawat awam perlu dilakukan berhati-hati supaya tidak menjejaskan sektor perkhidmatan awam yang menjadi tunjang pentadbiran kerajaan.

Katanya, isu bayaran pencen penjawat awam yang meningkatkan tanggungan fiskal negara sudah berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan penyelesaian yang tuntas.

“Namun begitu, sebarang bentuk penyelesaian yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan tidak boleh menjurus kepada pengabaian kebajikan penjawat awam atau pengecilan saiz perkhidmatan awam tanpa mengambil kira keperluan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat secara cekap, meluas dan berkesan di seluruh negara.

Ini kerana sebahagian besar daripada 1.6 juta kakitangan awam pada masa ini mengisi sektor penting dan kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pengambilan secara lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam adalah langkah interim (bersifat sementara) ke arah pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap pegawai awam yang akan melibatkan pindaan akta berkaitan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan pegawai yang dilantik menerusi lantikan kontrak (interim) akan dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dimuktamadkan kelak.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, penjawat awam adalah tunjang keupayaan negara (state capacity) yang terbukti penting ketika negara menghadapi krisis.

Beliau menarik perhatian ketika wabak Covid-19 melanda di mana penjawat awam terutamanya yang berkhidmat dalam sektor kesihatan dan keselamatan menjadi petugas barisan hadapan (frontliners) yang penting dalam melawan wabak itu.

“Saya masih ingat setiap keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang saya pengerusikan dapat dilaksanakan dengan segera, cekap dan berkesan.

“Ini kerana negara kita mempunyai petugas barisan hadapan yang mencukupi di seluruh pelusuk negara.

“Bayangkan sekiranya kita kekurangan doktor, jururawat, polis, tentera, guru, penguat kuasa, kakitangan pertahanan awam dan lain-lain jabatan yang berkaitan, setiap keputusan dan langkah yang diputuskan di Putrajaya belum tentu dapat dilaksanakan dengan menyeluruh dan berkesan di seluruh negara,” katanya

Beliau berkata disebabkan penjawat awam, Malaysia menjadi antara negara paling awal keluar dari pandemik Covid-19.

“Justeru, apa pun langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan beban fiskal negara, kebajikan penjawat awam jangan diabaikan dan pengecilan saiz perkhidmatan awam jangan dijadikan fokus utama,” katanya

Bekas Perdana Menteri itu berkata, untuk mengatasi masalah beban fiskal negara, kerajaan sepatutnya memberi fokus kepada usaha menambah hasil negara dengan menggalakkan pelaburan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Nnn

Related posts

Leave a Comment