Henti amalan DNAA bagi ahli politik

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa amalan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) mana-mana ahli politik khususnya yang berdepan pertuduhan kes rasuah di mahkamah dihentikan.

Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata Bersih khuatir perkembangan ini akan meruntuhkan kepercayaan rakyat kepada institusi penguatkuasaan undang-undang khususnya pejabat Peguam Negara.

Justeru sudah tiba masanya untuk Peguam Negara menghentikan amalan itu, berikutan ia dilihat boleh membangkitkan kemarahan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, kenyataan Peguam Negara pada 15 Januari lalu bahawa pendakwa raya tidak perlu memberi penjelasan apabila memohon menarik semula dakwaan adalah tidak boleh diterima sama sekali apabila kes itu melibatkan kepentingan awam dan ahli politik di peringkat tertinggi pentadbiran negara.

“Kami menggesa supaya mereka yang sedang berhadapan tuduhan kes rasuah ini untuk mempertahankan diri dan dibicarakan seadilnya di hadapan mahkamah, bukannya digugurkan tuduhan mereka dengan ‘pengurniaan’ DNAA.

Desakan ini penting sementara menanti hasil kajian ‘task force’ (pasukan khas) oleh Kerajaan Persekutuan berkenaan cadangan untuk memisahkan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu, beliau mengetuai himpunan ‘flashmob’ oleh Bersih yang turut disertai kira-kira 60 wakil anak muda serta 30 badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di hadapan Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Masjid Jamek di sini, hari ini.

Faisal berkata, ‘flashmob’ hari ini sebagai peringatan awal supaya Peguam Negara segera menghentikan pemberian DNAA sedemikian.

Perkara itu, katanya, merujuk perkembangan terbaharu kes membabitkan bekas Perdana Menteri,  Najib Razak berkait dana SRC International San Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta yang mana ditetapkan September depan untuk pihak pendakwa raya membut keputusan sama ada akan memberikan DNAA atau tidak kepada tertuduh.

“Isu pemberian DNAA oleh Peguam Negara ini bukan perkara baharu, malah pernah berlaku beberapa kali membabitkan ahli politik daripada hampir semua parti politik utama dalam negara,” katanya.

Bersih juga menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan garis masa pelaksanaan pemisahan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta agenda reformasi lain termasuk reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Pendanaan Politik,” katanya.

Dalam pada itu, Bersih turut mengingatkan Kerajaan Persekutuan tentang janji dan prinsip reformasi diperjuangkan mereka sebelum memegang tampuk kuasa.

“Rakyat sedang memerhati dan sekiranya pemberian DNAA untuk kes rasuah sebegini berterusan, kepercayaan rakyat terhadap institusi awam bakal dihakis. Jangan ambil ringan gelombang kemarahan rakyat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Bersih mungkin menganjurkan ‘flashmob’ lebih besar selepas ini sekiranya kerajaan dan Peguam Negara tidak mempertimbangkan tuntutan reformasi itu.

Related posts

Leave a Comment