KUALA LUMPUR 8 Jan. – Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih bersempena dengan tamat pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini berlangsung di Kem Perdana, Sungai Besi di sini hari ini.
Berangkat sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Al-Sultan Abdullah yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memegang tampuk kepemimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019 selepas menggantikan Sultan Muhammad V iaitu Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Dalam titah baginda pada istiadat itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat sukacita dengan pelbagai kejayaan dan prestasi tinggi yang dipamerkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Baginda bertitah sejak penubuhannya, ATM menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara, dengan warga ATM sentiasa gagah perkasa tanpa mengira masa, cuaca serta kesenangan peribadi untuk membelah samudera, merentasi ruang angkasa dan mengharungi hutan belantara, sama ada di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.
Ketika negara dibelenggu pandemik Covid-19 dan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan yang ketat, warga ATM berjuang di barisan hadapan bagi menentukan struktur pentadbiran dan keselamatan negara masih berdiri kukuh tanpa diganggu-gugat.
“Begitu juga pada saban kali bencana melanda, ATM adalah antara agensi yang pertama tiba menghulurkan bantuan demi untuk membantu rakyat jelata daripada musibah yang melanda.
Di persada antarabangsa pula, ketumbukan ATM sentiasa gagah berbakti bersama tentera dari negara lain dalam pelbagai misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Pujian dan penghormatan terhadap keupayaan ATM ketika berkhidmat bersama angkatan tentera asing jelas menggambarkan bahawa ATM telah berjaya mengorak langkah daripada sebuah angkatan melawan insurgensi kepada sebuah angkatan konvensional yang boleh diatur gerak dalam pelbagai dimensi, teater dan domain penugasan,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah mahu barisan kepemimpinan ATM terus meningkatkan aspek pemerintahan dan kawalan serta nilai profesionalisme agar angkatan keramat itu akan terus kekal lestari sebagai benteng utama pertahanan negara.
Titah baginda, ATM hendaklah terus diperkasa agar ia sejajar dengan matlamat negara membentuk sebuah angkatan masa hadapan yang berkeupayaan untuk melindungi kedaulatan negara dan pada masa sama dapat menangani cabaran geopolitik dunia yang kompleks.
Justeru, aspirasi ke arah pembentukan sebuah ATM masa hadapan yang yang boleh dipercayai dan berkeupayaan tinggi wajar dijadikan sebagai satu agenda nasional, titah Al-Sultan Abdullah.
Seri Paduka turut menitahkan agar aspek kebajikan serta kesejahteraan warga ATM turut diberi tumpuan di samping pembentukan modal insan yang berkualiti tinggi adalah tunjang utama dalam mendukung aspirasi angkatan masa hadapan.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan atas kesetiaan tinggi dan segala khidmat bakti yang telah dicurahkan seluruh warga ATM sepanjang baginda menjadi Pemerintah Tertinggi ATM.
Titah Al-Sultan Abdullah, baginda dan Raja Permaisuri juga amat menghargai seluruh ahli keluarga yang memberikan dukungan dan turut berkorban demi mengizinkan orang yang dikasihi untuk berbakti kepada negara.
“Sesungguhnya berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan kedaulatan dan kesejahteraan negara adalah tugas mulia yang wajar disanjung tinggi oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Tugas ini telah dijulang dengan penuh kemuliaan oleh veteran ATM yang telah terlebih dahulu menyahut panggilan pertiwi. Justeru, beta turut ingin menzahirkan penghargaan dan sanjungan tinggi beta kepada seluruh veteran ATM,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri juga mendoakan agar Malaysia terus di bawah rahmat Allah yang berpanjangan dan perlindungan yang berkekalan buat perwira dan serikandi bangsa yang gagah menabur jasa demi negara tercinta.
Sementara itu pasangan diraja itu turut sama berdiri menyanyikan lagu Setia bersama anggota ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sama-sama menggerakkan tangan sambil menyanyi selain Raja Permaisuri sering merakam pelbagai momen di telefon bimbitnya, tidak melepaskan peluang berbuat demikian pada istiadat yang berlangsung dengan meriah itu.
Gelagat spontan Tunku Azizah yang merakam perjalanan istiadat itu turut menjadi tumpuan lensa kamera media.
Istiadat itu turut diselubungi suasana hiba apabila dendangan nyanyian dan deklamasi sajak oleh Sarjan Siti Nur Ain Jasmi dan Laskar Udara 1 Abdullah Rosli bertajuk Daulat Tuanku menyentuh emosi Tunku Azizah, yang beberapa kali dilihat mengesat air mata.
Sajak itu yang menceritakan kepemimpinan baginda dan cabaran yang dihadapi negara semasa lima tahun pemerintahan Al-Sultan Abdullah, selain menggambarkan keperibadian baginda berdua yang terserlah mesra rakyat jelas menyentuh emosi, sehingga Tunku Azizah menitiskan air mata.
