PUTRAJAYA 8 Jan. – Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu, berkuat kuasa esok.
Pelantikan itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, bagi menggantikan Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed.
“Sukacita dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Wan Ahmad Dahlan sebagai KPPA, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuat kuasa pada 9 Januari 2024.
“Saya yakin dengan pengalaman serta kredibiliti yang dimilikinya, beliau mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan ini bagi menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Ahmad Dahlan, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Ilmu Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Airlangga, Surabaya, Indonesia dan Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya.
Beliau berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 29 tahun sejak mula menyertainya sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Pengangkutan pada 25 Januari 1995.
Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah ICU-JPM.
“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, di Istana Negara serta di Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya.
Mohd Zuki berkata, kerajaan merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Zulkapli atas segala khidmat bakti beliau sepanjang perkhidmatan sebagai KPPA.
