Piala Asia: Cabaran besar Harimau Malaya

HARIMAU Malaya bakal berdepan cabaran besar di pentas Piala Asia 2023 apabila diundi bersama juara dua kali, Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dalam Kumpulan E pada kejohanan yang akan berlangsung di Qatar bermula 12 Januari ini.

Skuad kendalian Kim Pan Gon akan membuka kempen Piala Asia berdepan Jordan pada awal pagi (waktu Malaysia), 16 Januari ini sebelum menentang Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).

Walaupun hadir sebagai pasukan kerdil di pentas Piala Asia 2023, skuad Harimau Malaya tetap mendapat perhatian pada kejohanan itu.

Bekas kapten Korea Selatan, Koo Ja Cheol mengakui Malaysia sebagai antara pasukan yang menarik perhatiannya selepas kembali bersaing di pentas tertinggi Asia itu.

Katanya, penampilan semula pasukan seperti Malaysia bakal menjadi tumpuan terutama dengan Harimau Malaya mempunyai penyokong yang hebat.

“Saya fikir tindakan memperbesarkan pertandingan Piala Asia kepada 24 pasukan (pada 2019) menjadikan kejohanan itu sangat menarik. Ia memberi kami peluang untuk melihat persaingan antara pelbagai negara di seluruh Asia.

“Sejujurnya, semua kumpulan kelihatan sangat menarik dan beberapa pasukan membuat kemunculan semula. Saya tidak sabar untuk menyaksikan pertandingan terutama dalam Kumpulan E membabitkan pasukan Korea Selatan.

“Lebih-lebih lagi, saya teruja untuk melihat beberapa pasukan seperti Malaysia dan Hong Kong selain China yang terkenal dengan peminat mereka yang sangat bersemangat,” katanya

Selain itu, Ja Cheol yang juga penjaring terbanyak Piala Asia 2011 menyifatkan kejohanan kali ini sebagai peluang terbaik buat Korea Selatan menamatkan penantian menjulang trofi itu selepas kali terakhir memenanginya pada 1960.

Related posts

Leave a Comment