Warisan nafi dapat dana sindiket

KOTA KINABALU 27 Dis. – Parti Warisan (Warisan) menafikan tuduhan pihak tertentu, yang mendakwa kononnya parti itu mendapat dana atau mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah.

Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua berkata, parti itu menganggap tuduhan yang dilemparkan sebagai fitnah politik melampau bagi menjatuhkan reputasi parti itu serta pemimpin-pemimpinnya.

Justeru beliau memberi amaran, jika tuduhan itu berterusa, Warisan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkan parti itu dengan apa-apa aktiviti atau sindiket haram yang melanggar undang-undang.

“Warisan kesal masih ada segelintir pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab cuba untuk mengaitkan kes itu dengan Warisan seperti yang telah disebarkan melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam polis mendedahkan ketua sindiket dadah bergelar ‘Datuk’ adalah antara 10 lelaki ditahan Isnin lepas di Sabah kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah, dan susulan pengumuman itu, tular satu mesej di aplikasi Whatsapp yang mengaitkannya dengan parti Warisan.

Dalam pada itu Warisan menyambut baik kejayaan Polis Diraja Malaysia bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Sabah seperti yang diumumkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay.

Warisan berpendapat bahawa mereka yang disyaki terlibat mestilah disiasat dan biarlah Mahkamah mengadili mereka mengikut undang-undang.

Related posts

Leave a Comment