KUALA LUMPUR 20 Dis. – Bantuan kemanusiaan kali ketiga untuk Palestin melalui Ops Ihsan, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish, Mesir, pada jam 7.50 pagi waktu tempatan, semalam.
Dalam satu kenyataan, Sekretariat Ops Ihsan memaklumkan, penerbangan mengambil masa hampir 11 jam dengan kekuatan 10 kru, termasuk dua petugas media itu tiba kira-kira sejam lebih awal daripada jangkaan ketibaan asal.
Ketibaan pesawat sewaan khas A330-200 MASKargo itu disambut pegawai Pengendalian Darat Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish bersama pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.
Manakala proses membawa keluar barangan dari pesawat itu mengambil masa kira-kira tiga jam.
Barangan diterima oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir itu kemudian akan dibawa masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah sebelum diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin yang bertanggungjawab menguruskan proses agihan kepada hospital-hospital dan masyarakat Gaza yang memerlukan.
Sementara itu Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari, dalam kenyataan sama bersyukur dan terima kasih kepada semua yang terbabit sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam usaha penghantaran bantuan kali ini.
Beliau berkata, usaha kolektif dan bersepadu antara Kementerian Luar, agensi-agensi kerajaan serta lebih 60 badan bukan kerajaan dan semangat rakyat Malaysia, adalah faktor utama kejayaan Ops Ihsan.
Terdahulu, kelmarin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan meninjau persiapan terakhir penghantaran ketiga misi bantuan kemanusiaan sumbangan Malaysia ke Palestin menerusi Ops Ihsan, di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.
(Foto semasa di KL)
