Hanya 50 dibenar solat Aidilfitri

SHAH ALAM 11 Mei – Hanya 50 orang jemaah dibenarkan melaksanakan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau di Selangor pada Khamis ini, demikian ketetapan Jawatankuasa Tetap Agama Islam Selangor.

Dalam kenyataan hari ini, bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah; Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong; Masjid Pengurusan dan Masjid Institusi, dibenarkan dengan kehadiran 50 orang jemaah.

Bagi masjid kariah, surau kebenaran Jumaat dan surau kariah yang mempunyai kapasiti lebih 1,000 jemaah, juga 50 orang dibenarkan, manakala masjid kariah, surau kebenaran Jumaat dan surau kariah berkapasiti kurang 1,000 orang pula, hanya 20 jemaah dibenarkan.

Menurut jawatankuasa itu, ketetapan bilangan jemaah untuk solat sunat Aidilfitri yang diumum melalui satu surat pekeliling dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam, adalah dibatalkan.

“Berdasarkan penjadualan semula bilangan jemaah, maka pelaksanaan solat sunat Aidilfitri hendaklah turut dilakukan dengan menggunakan pendekatan pencegahan Covid-19, iaitu membuat penyusunan semula penjarakan fizikal 1.5 meter di antara jemaah dan menjarakkan selang satu baris jemaah dengan saf yang berikutnya,” katanya.

Jawatankuasa itu menambah, ketetapan lain yang ditentukan melalui surat pekeliling JAIS sebelum ini adalah kekal dikuatkuasakan dan hendaklah dipatuhi oleh semua pihak.

Related posts

Leave a Comment