Jangan selesa dengan jawatan dalam kerajaan

SEREMBAN 18 Dis. – Parti Amanah Negara (Amanah) tidak boleh terlalu terlalu selesa hanya kerana mempunyai wakil dalam Kerajaan Persekutuan, kata Presidennya Mohamad Sabu.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, mana-mana parti sekalipun tidak boleh bergantung kepada kedudukan dalam kerajaan untuk menguatkan kedudukan masing-masing.

Beliau mengambil contoh apa yang berlaku ke atas UMNO dan Barisan Nasional (BN), parti yang kuat tetapi akhirnya boleh kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan 2022.

“Dalam hal ini, saya mengingatkan ahli Amanah dan rakan-rakan lain supaya memberikan perhatian serius kepada usaha menguatkan parti.

“…. kerana (kita) jadi kerajaan, jadi menteri, jadi timbalan (menteri), duduk dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan), maka kita kurang ambil tahu mengenai parti dan ini amat tidak baik untuk parti,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Sembilan petang semalam.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Amanah akan terus mencari kaedah terbaik dalam usaha memulihkan semangat dan memaju serta memperkukuhkan parti, demi kelangsungannya.

“Kita sedar kelebihan berada dalam kerajaan, tapi ia belum tentu (jadikan) parti itu kuat… parti mesti ada identiti tersendiri untuk bergerak maju.

“Kami (PH) juga hebat tetapi kalah di (PRK) Cameron Highland, kalah di Semenyih dan Tanjung Piai… itu semasa memerintah. Bagi Amanah, kita akan terus berusaha memulihkan semangat bagi memaju dan memperkukuhkan parti,” katanya.

Mengenai pemilihan parti, Mohamad yakin Amanah tidak akan ketandusan barisan kepemimpinan masa depan dengan mengambil kira barisan pemimpin pelapis yang ada dalam parti itu ketika ini.

“Pada konvensyen pemuda, saya lihat ramai pemimpin muda muncul dan saya yakin Amanah mempunyai ramai pemimpin pelapis yang berkelayakan untuk meneruskan perjuangan parti ini pada masa hadapan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment