Putra tolak cadangan pilihan raya PBT

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Parti Putra menolak secara tegas cadangan DAP Kuala Lumpur yang menggesa pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dimulakan di ibu negara dalam usaha menegakkan demokrasi.

Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif berkata, cadangan Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai itu, tidak membantu langsung dalam memperkukuhkan perpaduan antara pelbagai kaum di negara ini.

Dalam satu kenyataan, beliau sebaliknya berkata, ia hanya menunjukkan sikap yang tidak menghormati kedaulatan dan kepentingan rakyat Malaysia.

Katanya, kenyataan tersebut turut menimbulkan kebimbangan dan kemarahan dalam kalangan masyarakat, terutama dalam konteks politik yang semakin tegang dan tidak stabil di Malaysia.

Justeru Putra menyeru semua parti Melayu bersatu demi kepentingan bersama supaya tidak meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk mencapai kejayaan politik dan agenda peribadi DAP serta ideologi mereka yang bertentangan dengan semangat perlembagaan dan perjanjian Malaysia.

“Terdapat kemungkinan besar berlakunya keburukan atau ketidakadilan dalam sesetengah situasi di mana PBT mungkin tidak menjaga kesaksamaan dan kepentingan setiap kaum dengan adil dan saksama.

Ini mungkin termasuk kecuaian yang nyata dalam memperuntukkan sumber dan peruntukan kepada masyarakat Bumiputera , atau tindakan diskriminasi yang terang-terangan dalam proses pemilihan,” katanya,

Shahrulufti mendakwa pilihan raya tempatan sering kali melibatkan persaingan politik yang ketat, dan dalam beberapa keadaan, ia boleh mencetuskan ketegangan dan konflik antara pelbagai komuniti atau kelompok masyarakat.

“Penting untuk memahami bahawa pilihan raya tempatan menangani isu-isu yang lebih berkaitan dengan pentadbiran dan perkhidmatan di peringkat tempatan seperti pembangunan kawasan, pendidikan tempatan, perkhidmatan kesihatan, dan lain-lain.

Secara tidak langsung, ini akan mempengaruhi isu-isu yang berkaitan dengan polisi nasional yang melibatkan kerajaan persekutuan.

Oleh itu, pilihanraya tempatan sepatutnya dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan dan aspirasi semua rakyat Malaysia, bukan hanya segelintir pihak yang berkepentingan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment