Identiti Digital Nasional selamat – Fahmi

SHAH ALAM 27 Nov. –  Kementerian Komunikasi dan Digital memberi jaminan data peribadi rakyat Malaysia yang bakal dilaksanakan menerusi pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) adalah selamat, kata Menterinya, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata IDN yang diusahakan oleh Mimos Berhad (MIMOS) dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Majlis keselamatan Negara adalah dasar kerajaan untuk menyeragamkan terutama proses daftar masuk (sign in) merentasi kementerian.

“Kita lihat setiap kementerian akan ada aplikasinya sendiri dengan pendaftarannya sendiri.. jadi maklumat atau pangkalan data itu dipegang oleh terlalu banyak pihak.

“Kita hendak selesaikan isu pendaftaran masuk, kedua isu keselamatan…bila kerajaan menyediakan satu modul yang dapat digunakan oleh semua kementerian dan selepas itu boleh digunakan di luar juga oleh pihak swasta.

“Maka isu keselamatan data peribadi itu akan dapat dikawal dengan sangat rapi dan rapat. Jadi tidak perlu risau mengenai aspek keselamatan dalam IDN nanti,” katanya selepas menyempurnakan Seminar Transformasi Digital dan Inovasi Malaysia-Jepun 2023, di Management and Science University (MSU), di sini hari ini.

Fahmi berkata, kementerian itu juga sudah meminta pihak Jabatan Penerangan dan juga kementerian berkaitan untuk meningkatkan penerangan dan penjelasan mengenai IDN.

“Ramai yang menyatakan kononnya bagi setengah negara lain mereka tidak ingin lakukan ..tapi banyak negara sudah (melaksanakan) seperti Estonia, Singapura, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Kita lihat banyak kebaikan (seperti) pengurangan kos bagi pembangunan aplikasi dan data rakyat Malaysia akan lebih selamat daripada dicuri oleh pihak yang berniat jahat,” katanya

Beliau juga berkata, pembangunan IDN itu bukan satu usaha yang baharu sebaliknya pernah diumumkan oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, kerajaan meluluskan peruntukan awal RM80 juta kepada pembangunan IDN dalam usaha menyegerakan platform pengesahan diri berkenaan yang dipercayai mampu mempertingkat lagi tahap kecekapan perkhidmatan awam.

Related posts

Leave a Comment