SHAH ALAM 21 Nov. – Ketua Pembangkang, Mohamed Azmin Ali menolak kenderaan yang diberikan oleh kerajaan negeri sebaliknya meminta beberapa keperluan bagi pejabat ketua pembangkang termasuk mesin pencetak dan komputer.
Katanya, kemudahan itu lebih bersesuaian dengan peranan semak dan imbang yang akan dimainkan pihak pembangkang yang kini berjumlah 22 orang, hampir menyamai ‘backbenchers’ kerajaan negeri seramai 24 orang.
“Saya berterima kasih kepada Datuk Menteri Besar kerana beliau menyediakan kenderaan baharu untuk ketua pembangkang.
“Tetapi bagi saya, itu bukan yang saya berikan keutamaan. Saya membuat keputusan untuk tidak menerima kenderaan ketua pembangkang dan saya sudah menyerahkan balik kepada kerajaan negeri.
Apa yang saya perlukan adalah kemudahan di pejabat ketua pembangkang seperti mesin fotostat, mesin pencetak, komputer kerana ini dapat membantu ADUN untuk berfungsi dengan lebih efektif sebagai blok semak dan imbang,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini petang ini.
Selain keperluan pejabat ketua pembangkang, beliau turut membangkitkan agar kerajaan negeri menyediakan peruntukan melantik penyelidik bagi membantu ADUN terutama yang baharu sama ada di pihak pembangkang atau kerajaan mendapatkan data dan fakta tepat.
“Ada baiknya Dewan diberikan sokongan dengan peruntukan yang lebih supaya kita dapat melantik penyelidik yang lebih ramai untuk membantu ADUN melakukan kajian supaya perbahasan mereka ini dapat dimanfaatkan oleh Dewan Undangan Negeri.
“Kerajaan negeri juga dapat memberikan bantuan bagi memastikan perbahasan dan perbincangan kita berasaskan kepada data, statistik, fakta yang membantu kerajaan negeri membangunkan negeri yang kita sayangi ini bersama,” katanya.
