SHAH ALAM 10 Nov. – Semua penjawat awam yang berkhidmat di bawah pentadbiran kerajaan Selangor akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan setengah gaji, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.
Katanya, pemberian BKK ini termasuk kepada anggota perkhidmatan kerajaan negeri yang gaji dibayar oleh Kerajaan Persekutuan.
BKK kali pertama sebanyak sebulan gaji atau minimum RM1,000 dilaksanakan pada Aidilfitri lalu manakala BKK kedua, insentif sebulan gaji atau minimum RM1,000 dengan anggaran implikasi kewangan RM40.03 juta akan dibayar 28 Disember nanti.
BKK kali ketiga iaitu setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 akan dibayar pada Februari 2024 bagi meringankan beban penjawat awam untuk persiapan sesi persekolahan yang dijangka bermula Mac 2024.
Beliau mengumumkan demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Amirudin berkata, pemberian BKK akan dilaksanakan berdasarkan pekeliling yang akan dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (BPSM).
Sementara itu, menerusi Belanjawan 2024, kerajaan negeri akan menaja sepenuhnya kira-kira 50 individu bagi menunaikan ibadah haji di bawah peruntukan Insentif Haji Selangor.
Katanya, Insentif Haji Selangor yang disenaraikan di bawah teras keempat Belanjawan 2024 iaitu Mengangkat Kesatuan Ummah, dinaikkan daripada RM1.5 juta kepada RM3 juta.
“Kita akan taja mereka berdasarkan data yang diperoleh daripada Lembaga Tabung Haji (TH). Kita belum letakkan sasaran …mungkin sekitar 40 hingga 50 orang yang ditaja sepenuhnya.
Selebihnya kita berikan RM1,000 hingga RM1,500 mengikut kemampuan dana RM3 juta yang diperuntukkan menerusi Belanjawan 2024,” katanya.
Sebelum ini Insentif Haji Muassasah Selangor asalah RM500, dan ini bermakna ada peningkatan iaitu kepada RM1,000 hingga RM1,500 yang akan dimasukkan ke dalam akaun TH jemaah.
“(Tajaan sepenuhnya) Kita akan kenal pasti yang betul-betul layak mungkin beberapa individu setiap daerah yang akan ditaja sepenuhnya dengan kos kira-kira RM12,000 hingga RM13,000.
“Kriteria yang akan digaris pendekkan, termasuk yang betul-betul dalam kelompok B40, yang betul-betul teringin hendak menunaikan haji tetapi tidak mampu, mungkin dalam kalangan pemimpin masyarakat, imam, guru agama, itu kita akan laksanakan,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2024 di sini, hari ini.
