KUALA LUMPUR 1 Nov. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yakin penamatan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya mulai hari ini tidak menyebabkan kenaikan harga bahan mentah itu pada masa depan.
Pemangku Menterinya, Armizan Mohd Ali, memberitahu Dewan Rakyat hari ini, keputusan itu dibuat setelah kerajaan mengambil kira pelbagai faktor termasuk selepas melakukan libat urus dengan pemain industri berkenaan.
“Sebelum keputusan (tamatkan subsidi ayam dibuat), libat urus dengan pihak industri sudah dilaksanakan. Kita minta mereka memberi jaminan bukan hanya dari segi bekalan, tetapi harga juga diletakkan pada kadar yang munasabah.
“Alhamdulillah, walaupun sebelum berkuat kuasa (penamatan subsidi) bermula 1 November (hari ini), beberapa pasar raya mengumumkan harga mereka yang jauh lebih rendah berbanding RM9.40 sekilogram,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024, kementeriannya, di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, bertanya mengenai jaminan kerajaan selepas pengapungan harga ayam terutama bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga ayam pada masa depan sehingga membebankan rakyat.
Menurut Armizan, bagi memastikan tidak berlaku manipulasi harga di pasaran, mulai semalam, KPDN menggerakkan jentera penguatkuasaannya melaksanakan pemantauan di seluruh rangkaian pasar raya, peruncit dan pasar basah.
Katanya, mulai hari ini, di peringkat KPDN, sebanyak 2,300 penguat kuasa dan 900 pemantau harga akan melakukan pemantauan di seluruh peringkat sama ada pasar raya, pasar basah dan kedai runcit untuk melihat impak daripada penamatan subsidi ayam ini.
“Saya sendiri bersama Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha kementerian akan bergerak untuk buat pemantauan. Kita tahu antara risikonya adalah isu kartel, sebab itu kita nak kuatkuasakan Akta Persaingan bagi menyelesaikan isu berbangkit berkaitan kartel,” katanya.
Nnnn
