KUALA LUMPUR 23 Okt. – Kerajaan diminta memberi tafsiran jelas mengenai bentuk kesalahan yang menyentuh isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) supaya ia tidak hanya disasarkan kepada pemimpin politik semata-mata.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan berkata tafsiran tidak jelas mengenai isu 3R itu menyaksikan ramai pemimpin politik disiasat tanpa asas jelas, sementara beberapa kes dirujuk di mahkamah yang secara langsung menyentuh isu 3R tidak pula diambil tindakan.
Katanya, jika mahu dibuat undang-undang, biar teliti perkara yang tidak boleh disebut dan sebagainya.
Ketua Whip Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu membangkitkan perkara tersebut ketika mengambil bahagian pada perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Mengambil contoh satu petisyen bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah, Takiyuddin menyatakan tindakan sedemikian juga sepatutnya boleh dianggap menyentuh isu 3R.
“Sekarang ini (kes mencabar enakmen Kelantan itu) ‘pending’ untuk ‘decision’ di Mahkamah Persekutuan. Orang itu bagi kita sudah melakukan tindakan yang bercanggah, menyentuh 3R. Menyentuh agama, sensitiviti dan raja yang menjadi ketua agama di negeri-negeri.
Sultan Kelantan (Sultan Muhammad V) sudah bertitah baru-baru ini mengenai cabaran ini. Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) yang juga Pengerusi MKI (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia) sudah memberi amaran supaya tindakan diambil termasuk meminda undang-undang, membendung perkara ini,” katanya.
Takiyuddin menjelaskan, petisyen dikemuka seorang peguam dan anaknya yang mencabar enakmen Kelantan itu memberi kesan besar bukan saja kepada satu negeri, malah kedudukan enakmen di semua 14 negeri yang lain.
Beliau juga menyatakan rasa dukacita terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar yang belum memberi jawapan bertulis mengapa kerajaan tidak membuat pencelahan di dalam kes ini untuk mempertahankan enakmen, bukan saja Kelantan tapi 14 negeri lain.
“Apabila kes ini diputuskan, dibenarkan permohonan ini, bermakna semua enakmen jenayah syariah 14 negeri dianggap terbatal dan DUN (Dewan Undangan Negeri) di semua negeri tidak mempunyai kuasa untuk melaksana undang-undang syariah ini. Ini cukup berat, tapi menteri sampai sekarang tak jawab,” katanya.
Sementara itu, di luar Dewan, pada satu sidang media, Shahidan Kasim (PN-Arau) berkata, elemen 3R tidak boleh ditafsir mengikut selera dan kehendak pihak tertentu saja.
“Kita tak boleh tafsir 3R mengikut kehendak kita, mesti rujuk ke mahkamah. 3R ini juga sesuatu yang boleh diambil (menyentuh) dari (peruntukan) perlembagaan. Dalam perlembagaan ada lagi satu iaitu ‘L’ atau ‘language’ atau bahasa. Bahasa juga termasuk dalam isu sensitif.
“Rakyat pening kepala apa dia 3R ini, seolah-olah tafsiran itu hanya diketahui segelintir orang sehingga kita mahu bercakap pun tak pasti, ia melanggar (undang-undang) atau tidak,” katanya.
Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) pula berkata, jika kerajaan benar-benar serius mengawal isu 3R, tindakan perlu dibuat ke atas semua pihak yang menyentuh isu berkenaan.
“Janganlah pihak kami (pembangkang) kena, pihak sana (kerajaan) tidak kena. Kena ingat, kerajaan ini boleh kita katakan hari ini kamu di atas, hari ini kamu kerajaan esok kamu jadi pembangkang, kami pula jadi kerajaan.
“Jadi, waktu kita nak buat satu perkara ini, kenalah fikir ke hadapan. Jangan fikir waktu kita ada kuasa saja, kita boleh buat apa yang kita nak buat,” katanya.
