KUALA LUMPUR 23 Okt. – Kumpulan warga emas yang hanya mampu menjawab “khabar baik” dan “sama-sama” bagi ujian ‘penguasaan’ bahasa boleh diberi kelulusan untuk permohonan taraf kewarganegaraan.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata ujian penguasaan Bahasa Melayu dikenal pasti sebagai antara punca kebanyakan pemohon warga emas gagal bagi permohonan taraf warganegara Malaysia.
“(Di Malaysia), markah tak lulus satu, markah lulus lapan. Dia ada rating dia. Sekarang ini, yang dua pun kadang-kadang saya luluskan.
Dua ini maknanya, “Terima kasih”, dia jawab “sama-sama”. Itu pun lulus. “Apa khabar”, “Khabar baik”. Itu lulus. Dia tidak boleh buat ayat macam Tan Sri (Yang Dipertua Dewan Rakyat) macam Tanjong Piai buat,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) yang membangkitkan mengenai isu permohonan warganegara golongan warga emas yang tidak diluluskan, selain mengambil masa lama untuk proses kelulusan.
Saifuddin menarik perhatian, mengikut amalan di luar negara, pemohon warganegara dikehendaki boleh berbahasa bahasa rasmi negara berkenaan.
“Tak apalah. Sampai kita turunkan kayu ukur sampai ke situ. Ada yang warga usia lama ini Tan Sri, mereka terlalu fasih dengan bahasa asing. Jadi, sampai tidak boleh langsung. Jadi, yang itu antara kekangan yang kita hadapi. Itu pun kita cuba bantu.
Tanjong Piai tolong ingatkan saya balik kes yang spesifik, yang lengkap dokumen dan sebagainya. Saya akan bantu mudah carakan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Lo Su Fui (GRS-Tawau) mengenai dakwaan KDN tidak serius dalam isu permohonan taraf warganegara, Saifuddin berkata dalam tempoh 10 bulan, sebanyak 10,381 permohonan diberi keputusan, majoritinya kanak-kanak.
“Kebanyakan permohonan membabitkan kes anak angkat dan kanak-kanak tidak sah taraf. Mereka tak boleh ke sekolah dan terpaksa bayar bil hospital yang mahal (kerana tiada taraf warganegara).
“Kita minta pegawai di KDN selesaikan ini dahulu, sebaliknya kita ditohmah luluskan puluhan ribu permohonan warganegara kepada rakyat China, ini jahat,” katanya.
Terdahulu, Saifuddin ketika menjawab soalan asal Su Fui mengenai penduduk tidak memiliki dokumen lengkap bagi permohonan warganegara, berkata beberapa inisiatif dilaksanakan bagi mengatasi isu itu.
“Ia termasuk Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) untuk membantu rakyat, terutama di kawasan pedalaman mendapatkan dokumen lengkap dan urusan permohonan warganegara,” katanya.
Kepada soalan tambahan wakil Tawau itu, Saifuddin menjelaskan selepas 10 bulan di Kementerian itu, beliau tidak menemui data lebih satu juta penduduk di Sabah tidak mempunyai yang direkodkan.
“Saya mohon bantu saya selepas ini ya, sebab sepanjang 10 bulan saya duduk di KDN, saya belum pernah jumpa data ini lagi. Barangkali Tawau ada maklumat, boleh salur ya,” katanya.
