SHAH ALAM 22 Okt. – Dewan Pemuda Pas (DPP) bersedia melantik sebilangan Ahli Jawatankuasa dalam kalangan wanita muda, selain terus mendedahkan anak muda dalam pembuatan dasar dan polisi, kata Ketuanya Afnan Hamimi Taib Azzamudden.
Pada masa yang sama, DPP juga menyeru supaya semua ahli pimpinan di semua peringkat untuk mendorong anak masing-masing terutama di bangku sekolah, di universiti untuk terlibat dan mengenali perjuangan parti itu.
“Tidak ada guna dan tidak ada ertinya kalau hanya kita sahaja berpencak (di medan perjuangan), tapi mereka di rumah tidak tahu apa perjuangan kita. Insya-Allah Pemuda bersedia memikul tugasan amanah itu untuk terus memimpin dan membimbing mereka,” katanya.
Ketika penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas kali Ke-69, di IDCC, di sini hari ini, beliau berkata, Pemuda Pas juga bersetuju mewujudkan Sektor Latihan dan Pendidikan Politik Anak Muda dalam menangani, menguruskan dan terus memimpin para pengundi muda.
Menurut Ahli Parlimen Alor Setar itu, sektor ini akan membuka ruang kepada anak-anak muda yang tidak terlibat dengan politik kepartian Pas untuk didedahkan kepada program berbentuk perantisan bersama ADUN atau Ahli Parlimen Pas.
Afnan Hamimi yang baru mengambil alih jawatan tanpa bertanding juga menyifatkan anak muda dalam kalangan pempengaruh dan TikTokers telah membantu perjuangan Pas di medan tempur politik negara ini.
Katanya, mereka telah berhujah dan membentangkan fakta dan data yang dibuat semua itu secara percuma , dengan keikhlasan walaupun ada pimpinan lawan menuduh peranan dilakukan itu diberikan bayaran.
”Keikhlasan mereka itulah yang menentukan kemenangan kita pada hari ini dan kita berada di sini, kita bagi amaran kepada mereka yang mempunyai tanggapan yang salah kepada Pas, kepada para Pemuda Pas
“Kami tidak pernah diajar berjuang meminta bayaran. Kami tidak pernah diajar berjuang meminta habuan dan balasan seperti kamu. Kalau kamu rasa kamu berjuang menggunakan duit itu hal kamu. Itu bukan hal kita.
“Kita berjuang atas keikhlasan. Pas sama sekali tidak pernah berniat untuk kebendaan seperti kamu. Perjuangan kita ikhlas untuk menegakkan kalimah Allah,” katanya.
