Sanusi peroleh undi tertinggi pemilihan Pas

SHAH ALAM 22 Okt. –  Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memperoleh undi tertinggi sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat sesi 2023-2025 yang diumumkan pada hari terakhir Muktamar Pas hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas menerima 1,098 undi diikuti bekas Ketua Dewan Pemuda Pas (DPP), Ahmad Fadhli Shaari yang memperoleh 1,042 undi dan Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, 1,033 undi.

Seramai 22 orang calon menawarkan diri untuk 18 jawatan berkenaan pada pengundian yang berlangsung pada 20 Oktober di mana 1,356 layak mengundi.

Bagaimanapun sebanyak 84.14 peratus atau 1,141 perwakilan yang menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Dr Ab. Halim Tamuri turut mengumumkan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man menang tanpa bertanding.

Turut menang tanpa bertanding adalah Naib-Naib Presiden iaitu Ahli Parlimen Bagan Serai, Idris Ahmad, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan,  Mohd Amar Abdullah yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pengerusi Tetap dan timbalannya juga diumumkan menang tanpa bertanding yang disandang oleh Senator Husin Ismail dan Kamal Ashaari manakala dua pemerika kira-kira, Mat Syukur Abdul Aziz dan Mohammad Najib Ahmad juga menang tanpa bertanding.

Sementara itu turut terpilih sebagai ahli jawatankuasa pusat adalah Dr Azman Ibrahim (995 undi), Dr Halimah Ali (961), IR TS. Khairilnizam Khirudin (945), Ahmad Marzuk Shaary (944),  Siti Zailah Mohd Yusof (941).

Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim memperoleh 926 undi, diikuti Dr Riduan Mohamad Nor (924), Ahmad Amzad Hashim (915), dan Menteri Besar Kelantan Mohd Nassurddin Daud (914).

Timbalan Menteri Besar Kelantan,  Dr. Mohamed Fadzli Hassan pula memperoleh (911 undi), Kamaruzaman Mohamad (865), Dr Najihatussalehah Ahmad (815), Misbahul Munir Masduki (808), Iskandar Abdul Samad (806) dan Dr Rosni Adam (777).

Related posts

Leave a Comment