Penyatuan ummah tidak jejaskan hak bukan Melayu

SHAH ALAM 20 Okt. – Pas memberi jaminan bahawa penyatuan ummah yang sedang diperjuangkan oleh parti itu tidak akan menjejaskan hak orang bukan Melayu dan bukan Islam, kata Presidennya, Abdul Hadi Awang.

Beliau  berkata, Pas konsisten mengajak semua pihak termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta tokoh masyarakat untuk memperkukuhkan perpaduan ummah.

“Disatukan orang Melayu Islam dan diajak orang bukan Islam yang tidak ekstrem, mengikut acuan Sirah Rasulullah SAW,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar dan merasmikan Muktamar Tahunan Pas ke-69 di sini hari ini.

Beliau mengingatkan apabila umat Islam lemah, kekuatan akan hilang dan apabila tidak bersatu kepentingan orang Melayu Islam semakin dipijak dan hak keistimewaan agama Islam dan hak orang Melayu dan Bumiputera semakin dicabar.

Abdul Hadi menjelaskan penyatuan ummah ini tidak menjejaskan hak orang bukan Melayu dan bukan Islam, bahkan akan terus memelihara kebebasan beragama dan memberikan keadilan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita wajib menjaga perpaduan ummah yang sedang dibina hari ini. Jangan wujud sebarang perpecahan supaya kita tidak menjadi laksana lesung dan alu berlaga, ayam pula yang kenyang,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar dan merasmikan Muktamar Tahunan Pas ke-69 di Shah Alam, hari ini.

Jelas beliau, Pas telah berjaya menarik sokongan pengundi Melayu-Islam dalam PRU15 lalu, sekali gus menyaksikan Pas menang 43 kerusi Parlimen, yang merupakan pencapaian terbaik dalam sejarah 71 tahun penubuhannya hasil kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

“Dalam masa yang sama meningkatkan kefahaman politik orang Melayu-Islam yang sangat lemah. Perkara ini penting untuk dibincangkan dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan bijaksana,” tambah beliau.

Abdul Hadi pada masa yang sama berkata, parti itu perlu melakukan usaha penting dan berat dalam menarik sokongan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

Katanya, Islam yang menjadi dasar Pas telah memberi jaminan keadilan, kesejahteraan hidup untuk semua kaum di negara ini.

Melalui pemerintahan Pas di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, berjaya membuktikan kebebasan beragama penganut agama lain tidak dihalang, rumah ibadat tidak dirobohkan, orang bukan Islam hidup aman sejahtera.

Namun kejayaan Pas bersama PN mentadbir negeri dianggap negatif kerana Pas beristiqamah berpegang kepada Islam.

“Oleh itu Pas mesti mengekang naratif Islamofobia yang menggunakan jenama Gelombang Hijau’ untuk menakutkan kalangan bukan Islam dan pihak tertentu terhadap prestasi Pas,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment