Blok Ambalat perlu penerangan menyeluruh

SHAH ALAM 18 Okt. –  Kerajaan sewajarnya menyediakan sesi penerangan yang menyeluruh terhadap polemik Blok Ambalat ketika ini, kata Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) Ahmad Fadhli Shaari.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata dokumentasi berkaitan triti perlu dinyahklasifikasi segera agar rakyat mengetahui setiap butiran dan terma yang telah dipersetujui.

“Kami berpandangan rakyat di negara ini berhadapan situasi ‘Assymmetrical Information’ atau ketidaksepadanan maklumat di antara Malaysia dan Indonesia dalam isu Ambalat,” katanya.

Beliau agak hairan apabila media Indonesia meraikan kejayaan rundingan 18 tahun Blok Ambdlat, sedangkan media dan rakyat di negara ini masih tidak pasti apa sebenarnya kandungan triti yang dikemukakan.

Pemuda Pas berpendirian isu persempadanan maritim negara harus kembali ke medan wacana dan diskusi bersama kumpulan pakar dan ahli akademik.

“Kita harus membedah ruang lingkup isu yang melingkari sempadan perairan, apatah lagi sebahagian besar sempadan negara kita dilingkungi perairan,” katanya.  dalam Ucaptama Ketua Pemuda Muktamar DPPM ke-64 sesi 2021-2023 di sini, malam tadi.

DPPM menggesa kerajaan supaya mengambil berat terhadap isu kedaulatan negara, khususnya membabitkan persempadanan maritim negara.

Beliau berkata, isu Laut China selatan juga antara isu pertindihan tuntutan sempadan maritim yang masih belum berpenghujung.

“Kemelut penyelesaian di antara ASEAN dan China melalui pendokumentasian Code of Conduct terhadap Laut China Selatan kelihatan masih mempunyai persoalan lanjut apabila China menerbitkan Peta Standard China Edisi 2023.

“Penerbitan peta itu bukan sahaja membabitkan Malaysia dan dituntut dalam kalangan negara-negara ASEAN sendiri, bahkan India turut terpalit apabila bahagian wilayah Arunachal Pradesh di Aksai Chin terangkum dalam peta standard berkenaan,” katanya.

Katanya, DPPM menyokong nota bantahan yang dibuat Wisma Putra sebagai usaha proaktif kerajaan melindungi kepentingan negara di Laut China Selatan khususnya di sebahagian Kepulauan Spratly dan Beting Patinggi Ali.

“Bagaimanapun, kita harus memandang penyelesaian jauh lebih ke hadapan menggunakan kolektiviti bersama rakan dalam negara-negara ASEAN,” katanya.

Related posts

Leave a Comment